London: Phil Foden meniru potongan gaya rambut ikon popular England pada Euro 96 - Paul Gascoigne sekali gus memberi penghormatan khas kepada bekas bintang bola sepak negara itu.
Bintang Manchester City itu berharap penampilan terbarunya akan membantu mencetus inspirasi kepada skuad Three Lions pada musim panas ini seperti dilakukan Gazza 25 tahun lalu.
Foden sebelum ini pernah dibandingkan aksinya seperti Gascoigne.
Menjelang aksi pertama Kumpulan D buat England berdepan Croatia pada Ahad, pemain berusia 21 tahun itu mewarnakan rambut hitamnya.
Menjelaskan mengenai gaya rambut terbarunya, pemain tengah menyerang itu berkata: "Saya mempunyai gaya potongan rambut seperti ini sudah lama. Saya fikir mahu cuba sesuatu yang baru.
"Saya bangun pagi ini dengan banyak perbandingan kepada Gazza dan Eminem, ia adalah idea saya sendiri dan orang ramai menyangka sebaliknya."
Foden mendakwa kebanyakan pemain England memberi maklum balas yang positif dengan perubahan gaya rambutnya itu, kini ia menjadikan dia lebih bersemangat untuk beraksi cemerlang di Wembley.