FRATTESI mengawal bola ketika Itali menentang Albania di  BVB Stadion. FOTO AFP
FRATTESI mengawal bola ketika Itali menentang Albania di BVB Stadion. FOTO AFP
AFP

Iserlohn, Jerman: Davide Frattesi menjadi kunci harapan Itali untuk mengalahkan Sepanyol di Euro 2024 selepas mendapat kepercayaan jurulatih Luciano Spalletti walaupun peranannya di Inter Milan hanyalah sebagai pemain gantian.

Pemain tengah Frattesi hanya tampil enam kali dalam barisan kesebelasan juara Serie A itu tetapi sumbangannya pantas mendapat pujian jurulatih Simone Inzaghi.

Pemain berusia 24 tahun itu meledak lapan gol dan mencipta lima bantuan jaringan lagi dalam 15 perlawanan semua pertandingan untuk Inter Milan musim lalu dan kemampuannya terserlah tepat di peringkat antarabangsa.

Empat daripada lima gol Frattesi untuk Itali hadir sejak Spalletti mengambil alih pasukan kebangsaan pada Ogos tahun lalu.

Dia hanya dinafikan gol keenam antarabangsa oleh tiang gol ketika menang 2-1 ke atas Albania yang menyaksikan dia cemerlang bermain di belakang bekas rakan sepasukan di Sassuolo, Gianluca Scamacca.

"Bukan mudah untuk menyesuaikan diri dengan pasukan baru dalam tahun pertama terutama jika mereka baru sahaja ke final Liga Juara.

"Perkara paling meletihkan bagi saya tahun ini ialah perjalanan. Tetapi semakin banyak anda bermain, semakin banyak masa anda di padang, semakin baik keadaan anda. Saya letih secara mental, tetapi prestasi anda datang daripada perlawanan. Saya mahu ianya kelihatan berbeza," kata Frattesi.

Frattesi antara empat pemain Inter yang akan tampil untuk skuad Itali menentang Sepanyol pada awal pagi Jumaat ini, dengan pemain tengah Nicolo Barella, sayap kiri Federico Dimarco dan pertahanan Alessandro Bastoni kesemuanya beraksi untuk juara Eropah itu.

"Bersama selama setahun pastinya membantu kerana kadang-kadang kami tidak perlu bercakap antara satu sama lain kerana semuanya berlaku secara automatik.

"Ia sama seperti dengan Scamacca juga kerana ia berlaku secara semula jadi, kami memahami satu sama lain dan apa yang perlu kami lakukan," katanya.

Itali menampilkan prestasi mengagumkan ketika menentang Albania dan mereka bangkit semula selepas dibolosi gol terpantas dalam sejarah Kejohanan Eropah.

Kemenangan itu mengurangkan sedikit tekanan Itali ketika menentang Sepanyol yang membelasah Croatia dan setakat ini mereka bersama Jerman kelihatan antara pasukan paling cemerlang dalam kejohanan ini.

Sepanyol mendahului Kumpulan B berdasarkan perbezaan gol di hadapan Itali dan satu mata awal pagi Jumaat ini mungkin cukup untuk memastikan sekurang-kurangnya meraih satu daripada empat tempat ketiga terbaik yang memberikan tempat dalam peringkat kalah mati.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 11:20 AM