FRATTESI (kiri) merembat masuk gol sulung Itali ketika mengalahkan Ukraine, 2-1. FOTO REUTERS
FRATTESI (kiri) merembat masuk gol sulung Itali ketika mengalahkan Ukraine, 2-1. FOTO REUTERS
AFP

Milan: Luciano Spalletti berkata, dia ibarat berada di syurga dengan tugas barunya sebagai jurulatih Itali selepas Davide Frattesi menyumbat dua gol dan menghidupkan peluang mereka pada pusingan kelayakan Euro 2024 hasil kemenangan 2-1 ke atas Ukraine.

Itali kini menduduki tempat kedua Kumpulan C selepas kemenangan pertama Spalletti di tempat sendiri dan dia harus berterima kasih kepada pemain tengah Inter Milan, Frattesi.

Pemain berusia 22 tahun itu yang dipilih menggantikan Sandro Tonali yang cedera, meledak dua gol untuk membolehkan Itali mengumpul tujuh mata iaitu sama dengan Ukraine dan Macedonia Utara.

Bulan depan, Itali akan melayan Malta di Bari sebelum berkunjung ke Wembley iaitu gelanggang yang menyaksikan mereka muncul juara Euro edisi lalu, untuk berdepan England yang kini di tangga teratas kumpulan dengan 13 mata.

"Saya cepat serasi bersama pasukan. Memang hebat berada di sini, saya rasa seperti di syurga dengan dikelilingi warna biru," kata Spalletti.

"Seperti orang lain, kami turut berdepan kesukaran, tetapi kami turut berdepan halangan yang perlu diatasi. Apabila berdepan kesukaran, kami perlu tahu cara untuk bertindak."

Kemenangan itu diraih dengan jurang jaringan tidak jauh apabila kapten Ukraine, Andriy Yarmolenko merapatkan jurang empat minit sebelum rehat, namun secara keseluruhan wujud petanda pemain Itali mula memahami pendekatan Spalletti.

Itali menguasai perlawanan menerusi gaya permainan tersusun seperti dipamerkan Napoli iaitu pasukan dibimbing Spalletti untuk menjulang gelaran Serie A, musim lalu.

Kehilangan beberapa pemain utama yang cedera termasuk penyerang Juventus, Federico Chiesa, Itali sepatutnya boleh menang dengan jumlah jaringan lebih besar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2023 @ 10:24 AM