PEMAIN Slovakia meraikan kejayaan menumpaskan Belgium. FOTO AFP
PEMAIN Slovakia meraikan kejayaan menumpaskan Belgium. FOTO AFP
Reuters

Frankfurt: Kemenangan mengejut Slovakia 1-0 ke atas Belgium di Euro 2024 adalah bukti peningkatan prestasi negara-negara kerdil, tetapi jurulatihnya, Francesco Calzona berkata, masih terdapat jurang walaupun pasukannya menang.

Slovakia mencatat kejutan pertama dalam kejohanan di Jerman apabila mereka menjaringkan gol awal dan kemudian berjaya mengekang Belgium yang dianggap lebih hebat untuk memenangi perlawanan pembukaan Kumpulan E.

"Pasukan dan negara yang kerdil terbukti mampu membuat peningkatan dan kami boleh menimbulkan tekanan kepada negara-negara yang dianggap lebih berprestij. Tetapi kami masih ada jurang yang besar.

"Kami perlu bekerja sangat keras kerana tidak mudah negara seperti Belgium menghasilkan ramai pemain bola sepak. Tetapi ia juga tidak menghalang bukti bahawa negara-negara kerdil juga sedang membangun," kata Calzona selepas Slovakia yang berada di ranking ke-48 mengalahkan Belgium yang berada di kedudukan ketiga dunia

Menurutnya, asas yang terhad menjadikan kejayaannya lebih manis bagi Calzona yang berasal dari Itali, yang dahulu berada di Napoli sebelum mengambil alih jawatan di Slovakia dua tahun lalu.

"Kami adalah negara kecil dan bukan senang untuk mencari pemain yang boleh menggalas tanggungjawab," katanya.

Namun Calzona memuji kemenangan itu yang meletakkan Slovakia di landasan untuk mara ke pusingan 16 terakhir menjelang perlawanan menentang Ukraine dan Romania.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2024 @ 10:35 AM