TEDESCO akur dengan keputusan pengadil. FOTO Reuters
TEDESCO akur dengan keputusan pengadil. FOTO Reuters
AFP

Frankfurt: Jurulatih Belgium, Domenico Tedesco mengakui rasa kekecewaannya terhadap keputusan Video Bantuan Pengadil (VAR) yang kontroversi sehingga menyebabkan pasukannya mengalami kekalahan mengejut 0-1 kepada Slovakia dalam perlawanan Euro 2024 pagi tadi.

Pasukan bimbingan Tedesco dikejutkan dengan gol Ivan Schranz pada minit ketujuh di Frankfurt, tetapi mereka sebenarnya akan kekal tanpa kalah jika gol lewat Romelu Lukaku dibenarkan.

Selepas gagal memanfaatkan pelbagai peluang sepanjang pertembungan Kumpulan E ini, Lukaku menjaringkan gol pada minit ke-86 apabila menerima hantaran silang Lois Openda.

Bagaimanapun, sambutan golnya secara dramatis terhenti apabila pemain-pemain bersiap sedia untuk meneruskan permainan selepas VAR memutuskan bahawa Openda menyentuh bola dengan tangan selepas ditekan pihak lawan dalam serangan sebelum itu.

Gol Lukaku sebelum itu juga tidak disahkan kerana berada dalam keadaan ofsaid ketika menyambut tandukan Amadou Onana.

"Sukar untuk diperkatakan. Jika kami menang, saya boleh memberitahu anda lebih lanjut mengenai pendapat saya. Tetapi kami kalah dan saya ingin dilihat sebagai pengurus yang adil, jadi saya tidak mengatakan apa-apa," kata Tedesco

"Kita harus mempercayai mereka (pengadil). Percaya dengan VAR. Jika mereka membuat keputusan bola terkena tangan, kami harus menerimanya."

Slovakia berada di kedudukan 45 di bawah Belgium yang menghuni ranking ketiga dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2024 @ 9:23 AM