PEMAIN pertahanan Slovakia, Milan Skriniar (kanan) meraikan jaringannya yang membolehkan mereka menewaskan Poland 2-1, hari ini. FOTO AFP
PEMAIN pertahanan Slovakia, Milan Skriniar (kanan) meraikan jaringannya yang membolehkan mereka menewaskan Poland 2-1, hari ini. FOTO AFP
AFP

Saint Petersburg: Pemain pertahanan Inter Milan, Milan Skriniar menjaringkan gol kemenangan Slovakia, 2-1 ke atas jiran mereka, Poland pada perlawanan pembukaan Kumpulan E Euro 2020, hari ini.

Gol sendiri penjaga gol Poland, Wojciech Szczesny meletakkan Slovakia di depan pada minit ke-18, tetapi Karol Linetty menyamakan kedudukan buat Poland sebaik babak kedua bersambung.

Poland terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-62 apabila pemain tengah, Grzegorz Krychowiak dibuang padang selepas menerima kad kuning kedua dan kesempatan itu digunakan Slovakia untuk memburu gol kemenangan.

Slovakia yang mara ke pusingan 16 terbaik pada penampilan di Kejuaraan Eropah, lima tahun lalu, akan berdepan Sweden pada Jumaat ini manakala Poland ke Seville untuk bertemu Sepanyol, keesokannya.

Jurulatih Poland, Paulo Sousa menurunkan bintang Bayern Munich, Robert Lewandowski sebagai penyerang tunggal berikutan pilihan terhad selepas kecederaan menyebabkan Arkadiusz Milik dan Krzysztof Piatek tersingkir daripada kejohanan.

Marek Hamsik yang memimpin Slovakia di Piala Dunia 2010 dan Euro 2016, mencipta rekod 127 cap buat negaranya selepas mengatasi masalah kecederaan betis.

Slovakia bermula baik apabila sepakan Ondrej Duda sedikit tersasar dan tidak lama kemudian, mereka berada di depan.

Robert Mak menyusup melepasi dua pemain pertahanan dari sebelah kiri sebelum bola rembatan rendahnya terkena tiang gol dan melantun terkena Szczesny sebelum melepasi garisan gol.

Szczesny yang dibuang padang pada perlawanan pembukaan Euro 2012 ketika Poland menjadi tuan rumah bersama, muncul penjaga gol pertama dalam sejarah kejohanan dikategorikan sebagai penjaring gol sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Jun 2021 @ 2:05 AM