AKSI Lukaku menjaringkan gol pertama Belgium.
AKSI Lukaku menjaringkan gol pertama Belgium.
Reuters

Tallinn: Romelu Lukaku meledak dua gol dalam tempoh tiga minit dan Johan Bakayoko menjaringkan gol antarabangsa pertamanya bagi membantu Belgium yang berdepan masalah dalaman mengatasi Estonia 3-0 dalam aksi kelayakan Euro 2024 Kumpulan F awal pagi tadi.

Pasukan pelawat yang dibayangi pertelagahan jurulatih baharu Domenico Tedesco dan penjaga gol veteran Thibaut Courtois sebelum perlawanan bermula perlahan sebelum Lukaku menamatkan kebuntuan dengan dua gol jarak dekat penghujung babak pertama.

Austria mengetuai kumpulan dengan 10 mata daripada empat perlawanan dengan Belgium di tangga kedua mengumpul tujuh mata menerusi tiga perlawanan manakala Estonia hanya satu mata daripada tiga aksi.

Belgium mendahului apabila Lukaku menolak bola masuk hantaran Aster Vranckx dari sebelah kiri dan tiga minit kemudian dia menjadikan kedudukan 2-0 menerusi rembatan rendah.

Pertelagahan Tedesco dan Courtois masih belum diselesaikan menyebabkan masa depan penjaga gol itu di peringkat antarabangsa tidak menentu.

Tedesco berkata semalam Courtois enggan turut serta ke Estonia selepas dia berasakan tidak dihormati apabila Lukaku dilantik kapten susulan kecederaan Kevin De Bruyne.

Namun Courtois berang dan menafikan dakwaan itu. Sebaliknya menjelaskan dia mengalami kecederaan lutut dan doktor menasihatkannya tidak beraksi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Jun 2023 @ 8:04 AM