BELLINGHAM jaring 23 gol musim ini.
BELLINGHAM jaring 23 gol musim ini.
Reuters

Sardinia: Pemain tengah Real Madrid Jude Bellingham dipilih Pemain Terbaik La Liga musim ini selepas menjadi tonggak kejayaan kelab yang meraih gelaran liga ke-36 mereka.

Bellingham, 20, mengatasi saingan rakan sepasukan Vinicius Jr, Antoine Griezmann (Atletico Madrid), Artem Dovbyk (Girona) dan Robert Lewandowski (Barcelona) menerusi undian peminat, kapten kelab dan panel penilai.

Dia menjaringkan 19 gol dan mencipta enam bantuan jaringan dalam 28 aksi liga musim ini dan keseluruhannya 23 gol serta 12 bantuan jaringan dalam semua kejohanan untuk Madrid.

Bellingham yang tidak dapat menghadiri majlis penganugerahan di Sardinia kerana menyertai sesi latihan bagi menghadapi final Liga Juara-Juara menentang bekas kelabnya Borussia Dortmund berkata, dia berbesar hati dan menganggap anugerah itu satu penghormatan kepadanya.

"Saya tujukan anugerah ini kepada rakan sepasukan, barisan jurulatih dan paling penting penyokong kelab terbaik dunia ini," katanya di media sosial.

"Sangat membanggakan setiap kali bersama dengan kelab ini. Hala Madrid!".

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2024 @ 6:18 PM