MOHAMMED Abu Salmiya disambut oleh saudaranya di Hospital Nasser di Khan Yunis, selatan Gaza. FOTO AFP
MOHAMMED Abu Salmiya disambut oleh saudaranya di Hospital Nasser di Khan Yunis, selatan Gaza. FOTO AFP
Agensi

Baitulmaqdis: Israel sudah membebaskan puluhan rakyat Palestin yang ditahan ketika perang di Gaza, termasuk pengarah salah satu hospital utama di kawasan itu.

Al-Jazeera melaporkan, Israel membebaskan 55 tahanan pada Isnin untuk mengurangkan kekangan ruang di penjaranya, dakwa laporan yang tidak disahkan.

Bercakap sejurus selepas kembali ke Gaza, Pengarah Hospital al-Shifa, Muhammad Abu Salmiya menegaskan, tahanan Palestin di penjara Israel, didera setiap hari.

Ribuan rakyat Palestin, termasuk mereka yang ditahan sejak perang bermula pada 7 Oktober, menyebabkan penjara Israel menjadi penuh, lapor Perbadanan Penyiaran Awam Israel.

Abu Salmiya ditangkap di tengah-tengah dakwaan oleh tentera Israel bahawa Hamas menggunakan Hospital al-Shifa sebagai pangkalan.

Ketua pusat perubatan itu berkata, tiada pertuduhan pernah dikenakan terhadapnya.

Dia dibebaskan selepas lebih tujuh bulan dalam tahanan dan mendakwa, menanggung penghinaan fizikal dan psikologi, setiap hari.

"Tahanan dikenakan semua jenis penyeksaan di penjara.

"Terdapat penyeksaan hampir setiap hari. Sel dipecah masuk dan banduan dipukul.

"Beberapa banduan meninggal dunia di pusat soal siasat dan tidak mendapat makanan dan ubat-ubatan," katanya pada sidang akhbar di Gaza.

Menceritakan dakwaan penderaan itu, Abu Salmiya berkata, pengawal mematahkan jarinya dan memukul menggunakan belantan serta menggunakan anjing.

Katanya, kakitangan perubatan juga bertanggungjawab atas penderaan dan pengabaian, dengan beberapa anggota badan tahanan terpaksa dipotong kerana penjagaan perubatan yang lemah di penjara.

Tawanan juga mengalami kekurangan makanan yang teruk semasa dalam tahanan dan hanya bertahan dengan hanya sebuku roti sehari selama dua bulan hingga ada kehilangan berat badan sehingga kira-kira 30 kilogram.

Pegawai Israel tidak segera mengulas mengenai dakwaan penganiayaan tetapi sebelum ini menafikan tuduhan sedemikian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2024 @ 11:28 AM