Uyaina Arshad
Uyaina Arshad
Najiy Jefri


 

Kuala Lumpur: Hampir 46 hari berpantang selepas bersalin anak kedua,  Uyaina Arshad kini kembali meneruskan tanggungjawabnya sebagai pengacara program Wanita Hari Ini (WHI), semalam.

Uyaina berkata, dia begitu merindui untuk beraksi di depan kamera dan bertemu dengan rakan-rakan produksi yang sentiasa  menyokong pembabitannya dalam program itu.

"Alhamdulillah selepas selesai berpantang, saya kembali bekerja di WHI kerana merindui suasana kerja yang penuh cabaran ini.

"Sepanjang hampir dua bulan berehat dan menumpukan perhatian kepada anak-anak,  sekarang sudah tiba masanya untuk fokus dengan kerja," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Uyaina, walaupun sudah memegang status sebagai isteri dan ibu, namun semangat bekerja tidak pernah luntur.

"Tahun ini memasuki tahun ketujuh saya bersama WHI. Jadi banyak ilmu dan kenangan yang saya cipta bersama pasukan produksi.

"Saya juga individu yang tak boleh duduk diam lama-lama. Rasa pelik kalau lama sangat berehat," katanya.

Pada Mei lalu, Uyaina selamat bersalin anak lelaki kedua secara pembedahan atas nasihat doktor susulan masalah jantung yang dialami.

Untuk rekod, Uyaina dan Raja Syahiran mendirikan rumah tangga pada 21 Disember 2021 dan mereka juga memiliki seorang lagi cahaya mata lelaki iaitu Raja Urhan yang kini berusia setahun.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2024 @ 12:16 PM