BELLINGHAM dengan gaya meraikan jaringannya. FOTO AFP
BELLINGHAM dengan gaya meraikan jaringannya. FOTO AFP
AFP

Barcelona: Jude Bellingham menjaringkan gol untuk Real Madrid pada penampilan sulungnya serta dalam empat daripada lima perlawanan selepas itu sekali gus permulaan yang hebat untuk bekas bintang Birmingham itu.

Pemain tengah England itu menjaringkan lima gol dalam lima perlawanan di La Liga selepas perpindahan 103 juta euro (RM516.5 juta) dari Borussia Dortmund pada musim panas lalu.

Real Madrid mengekalkan rekod 100 peratus pada aksi domestik, tetapi kemampuan mereka akan benar-benar diuji pada aksi pertama Liga Juara-Juara minggu ini.

Bellingham, 20, dijangka akan membuat penampilan sulung 'kedua' untuk Los Blancos menentang Union Berlin pada awal pagi Khamis di Santiago Bernabeu, dalam pertandingan yang menjadi keutamaan Madrid.

Juara Eropah 14 kali itu dibelasah 0-4 oleh Manchester City pada separuh akhir kedua musim lalu untuk agregat 5-1 dan pembelian Bellingham adalah berpunca daripada kekalahan cukup memeritkan itu.

Madrid sudah mula mengurangkan minit permainan untuk pemain veteran mereka di bahagian tengah iaitu Luka Modric dan Toni Kroos sambil memberi Bellingham, Eduardo Camavinga, Aurelien Tchouameni dan Fede Valverde peluang lebih banyak beraksi.

Meraikan golnya dengan gaya tangan terbuka luas, seolah-olah ingin berkongsi kegembiraannya dengan penyokong, dia pantas menerima sokongan padu penyokong Madrid yang menghargainya dengan menyanyikan lagu popular kumpulan Beatles, 'Hey Jude'.

"Apabila mereka menyanyikan lagu 'Hey Jude' sehingga ke penghujungnya, saya cukup teruja. Saya hanya mahu berpaling ke arah mereka, berdiri dan mendengarnya manakala kaki saya rasa menggigil," katanya kepada Real Madrid TV selepas kemenangan ke atas Getafe.

"Pemain yang bagus dan mempunyai personaliti kurang bergelut berbanding yang lain," kata jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti, apabila ditanya bagaimana Bellingham dapat menyesuaikan diri dengan begitu pantas di Madrid.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2023 @ 9:12 AM