KANE menjaringkan gol pertama peribadi dan Bayern ketika menang 2-1 ke atas Eintracht Frankfurt, Sabtu lalu. FOTO REUTERS
KANE menjaringkan gol pertama peribadi dan Bayern ketika menang 2-1 ke atas Eintracht Frankfurt, Sabtu lalu. FOTO REUTERS
AFP

Berlin: Jika Harry Kane mahu menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dengan Bayern Munich untuk meraih trofi pertama dalam kariernya, dia perlu mengatasi rakan sepasukan England yang juga tonggak Real Madrid, Jude Bellingham.

Aksi separuh akhir pertama di Munich, awal pagi Rabu ini menemukan dua bintang skuad England itu dua bulan sebelum mereka bergabung untuk sepak mula Euro 2024 di stadium sama.

Dengan perbezaan usia sedekad, mereka melakar laluan berbeza dalam karier masing-masing dan menjadi tunjang bagi kedua-dua kelab gergasi Eropah itu yang disertai pada musim panas lalu.

Kane dianggap satu-satunya cahaya yang secara konsisten menerangi episod suram melanda Bayern, musim ini.

Manakala kurang setahun selepas meninggalkan Jerman, Bellingham meletakkan dirinya sebaris dengan Kane dan ramai lagi sebagai pemain bola sepak elit.

Tetapi, sebelum bergabung bersama England pada musim panas ini, mereka terpaksa bertarung pada awal pagi Rabu untuk layak ke Wembley - stadium kebangsaan England yang menjadi lokasi final UCL pada musim ini.

Selepas mencipta nama secara peribadi hasil daripada akademi remaja Tottenham, Kane, 30, berpindah ke Bayern pada Ogos sambil masih tercari-cari trofi sulung secara berpasukan.

Walaupun dipandang rendah, Kane menangkis keraguan mengenai kualitinya dalam kalangan pemain elit Eropah di Bayern, musim ini.

Pada ketika rekod tanpa kalah anak buah Xabi Alonso membolehkan Bayer Leverkusen dinobatkan sebagai juara Bundesliga, Kane menjaringkan 42 gol dalam semua kejohanan musim ini iaitu yang terbanyak pernah dijaringkannya dalam semusim.

Bellingham pula berpindah ke Borussia Dortmund dari kelab bandar kelahirannya, Birmingham pada 2020 dan yuran 30 juta euro (RM153.54 juta) menjadikan pemain berusia 17 tahun paling mahal dalam sejarah.

Tiga tahun kemudian, dia berpindah ke Madrid dari Dortmund dengan yuran 103 juta euro (RM527.16 juta).

Pada ketika kualiti Bellingham memang jelas ketika dia meninggalkan Jerman, tidak ramai menjangkakan dia akan muncul antara pemain terbaik dunia dalam tempoh cukup singkat.

Bellingham mengemudi pasukan ketika Madrid dibelenggu masalah kecederaan musim ini dan meletakkan mereka pada landasan untuk muncul juara liga dengan deretan gol penting termasuk jaringan saat akhir dalam kedua-sua aksi Clasico di La Liga.

Selepas menjaringkan dua gol ketika menewaskan Eintracht Frankfurt, 2-1, Sabtu lalu, Kane berkata, dia berharap Bellingham gagal beraksi dengan cemerlang pada pertemuan nanti.

"Dia pemain hebat, sama seperti saya katakan sebelum ini," kata Kane.

"Sudah tentu dia melalui musim yang menakjubkan. Tetapi, saya harap dia kurang menjadi dalam dua perlawanan berikutnya."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 1:31 PM