Pegawai JPJ melakukan pemeriksaan bunga tayar keatas sebuah Bas Expres pada Operasi Bersepadu Bas Pelancongan dan Ekspres di Stesen Penguatkuasa Gombak JPJ. FOTO ASWADI ALIAS
Pegawai JPJ melakukan pemeriksaan bunga tayar keatas sebuah Bas Expres pada Operasi Bersepadu Bas Pelancongan dan Ekspres di Stesen Penguatkuasa Gombak JPJ. FOTO ASWADI ALIAS
Muhamad Hafis Nawawi


Gombak: Seorang lelaki yang ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendakwa abangnya sakit dan kerana itu, dia terpaksa menggantikan abangnya sebagai pemandu gantian bas persiaran membawa pelancong ke Kuantan, Pahang.

Lelaki `berusia 36 tahun terbabit ditahan pada operasi bersepadu Bas Pelancongan dan Ekspres di Stesen Penguatkuasa Gombak, di sini, hari ini, kerana tidak memiliki lesen memandu serta Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV).

Katanya yang enggan dikenali, abangnya mengalami masalah kesihatan dan memintanya untuk menggantikan dia sebagai pemandu ke Kuantan.

"Abang saya yang patut membawa bas persiaran ini dari Kuala Lumpur ke Kuantan bersama penumpang tetapi disebabkan keadaan kesihatannya kurang mengizinkan, dia minta saya menggantikannya.

"Bagaimanapun, saya ditahan kerana tiada lesen memandu sah dan PSV pada pemeriksaan sebaik tiba di Plaza Tol Gombak," katanya.

Menurutnya, dia tahu perbuatan itu satu kesalahan serius tetapi tidak dapat dielak kerana mahu membantu abangnya.

"Sebelum ini saya tidak pernah berdepan situasi sebegini kerana hanya memandu bas di ibu negara dan kawasan taman perumahan sahaja.

"Selepas ini, saya akan ambil lesen memandu dan PSV bagi mengelak dikenakan tindakan lagi," katanya.

Bas persiaran yang dipandunya diperiksa dan disita selama dua jam bermula jam 7.30 pagi sebelum dibenarkan meneruskan perjalanan selepas abangnya tiba untuk mengambil alih tugas memandu kenderaan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2024 @ 11:12 AM