PEMAIN AS kecewa apabila tersingkir daripada Copa America. FOTO AFP
PEMAIN AS kecewa apabila tersingkir daripada Copa America. FOTO AFP
AFP

Kansas City: Amerika Syarikat (AS) tersingkir daripada Copa America selepas kekalahan 0-1 kepada Uruguay, ketika Panama mengesahkan tempat mereka ke suku akhir dengan kemenangan 3-1 ke atas Bolivia.

Pasukan AS, yang mengalami kekalahan mengejut 1-2 kepada Panama Jumaat lalu, turun ke perlawanan terakhir Kumpulan C di Stadium Arrowhead di Kansas City dengan harapan perlu menyamai atau lebih baik daripada keputusan Panama menentang Bolivia untuk mara.

Bagaimanapun, skuad bimbingan Gregg Berhalter tidak cukup untuk mengancam pasukan Uruguay yang mara ke lapan terakhir sebagai juara kumpulan.

"Sukar untuk dikatakan sekarang, jelas emosi sedang memuncak," kata kapten AS, Christian Pulisic yang kecewa.

"Kami mempunyai permulaan yang baik dan membawa banyak tenaga, tetapi tidak mempunyai kualiti yang mencukupi. Kami tidak dapat mencari penyelesaian."

Harapan untuk tuan rumah kejohanan mengelak daripada tersingkir pudar dalam tempoh 30 minit pertama, apabila mendapat berita bahawa Panama mendahului 1-0 menentang Bolivia di Orlando.

Harapan itu bernyala semula pada awal separuh masa kedua selepas Bolivia menyamakan jaringan untuk menjadikan kedudukan 1-1, meninggalkan AS di landasan melepasi peringkat kumpulan dengan syarat mereka terus menahan asakan Uruguay.

Bagaimanapun, keyakinan AS itu hancur beberapa saat kemudian apabila Uruguay mendahului dalam keadaan kontroversi menerusi Mathias Olivera pada minit ke-66.

Tandukan kuat Ronald Araujo daripada sepakan percuma Nicolas de la Cruz ditepis oleh penjaga gol AS, Matt Turner, tetapi ia berjaya disambut Olivera.

Tayangan semula nampak menunjukkan bahawa Olivera berada dalam keadaan ofsaid apabila Araujo mula membuat sentuhan dengan bola, tetapi walaupun semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) yang lama, pengadil dari Peru, Kevin Ortega memutuskan bahawa gol itu sah.

Ia kelihatan lebih suram buat AS selepas mendapat berita bahawa Panama menjaringkan gol sekali lagi melalui Eduardo Guerrero bagi mendahului semula pada 2-1, dan salam terakhir datang apabila Cesar Yanis menambah gol ketiga pada masa kecederaan.

Penyingkiran AS menimbulkan persoalan baharu mengenai masa depan jurulatih, Berhalter, yang kekal tidak popular dalam kalangan peminat negara berkenaan.

Berhalter hanya dilantik semula memimpin AS pada Jun tahun lalu berikutan direhatkan selepas mengetuai pasukan itu ke Piala Dunia 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2024 @ 12:19 PM