Muhammad Kifli pada Operasi Bersepadu Bas Pelancongan dan Ekspres di Stesen Penguatkuasa Gombak JPJ. FOTO ASWADI ALIAS
Muhammad Kifli pada Operasi Bersepadu Bas Pelancongan dan Ekspres di Stesen Penguatkuasa Gombak JPJ. FOTO ASWADI ALIAS
Muhamad Hafis Nawawi


Gombak: Dalam tempoh kurang tiga jam, dua pemandu bas persiaran dikesan tidak memiliki lesen memandu manakala seorang didapati positif ganja.

Mereka ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam operasi bersepadu bas pelancongan dan ekspres di Stesen Penguatkuasa JPJ Gombak, di sini, hari ini.

Pengarah Penguatkuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, pihaknya memeriksa sebanyak 22 bas persiaran dalam operasi bermula 6 pagi itu.

Menurutnya, setakat 9 pagi tadi, pihaknya menahan dua pemandu bas persiaran kerana tiada lesen memandu dan Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV).

"Kesalahan ini tidak sepatutnya berlaku sekiranya syarikat dan pemandu bertanggungjawab ke atas kenderaan masing-masing.

"Kita mengambil tindakan menyita bas itu sehingga syarikat menggantikan pemandu dengan lesen yang sah," katanya pada sidang media di Stesen Penguatkuasa JPJ Gombak, di sini.

Operasi bersepadu berkenaan dijalankan dengan kerjasama polis, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac).

Beliau berkata, AADK menjalankan ujian air kencing ke atas kesemua 22 pemandu di mana seorang daripada mereka didapati positif dadah.

"Pemandu berusia 30-an itu didapati positif menggunakan ganja dan tindakan lanjut akan diambil," katanya.

Menurutnya, pihaknya juga mengesan beberapa kesalahan lain termasuk kenderaan asing tidak mempunyai Permit Peredaran Dalaman (ICP) dan tidak mempunyai pemandu pelancong.

Beliau turut memberi amaran kepada pengusaha bas pelancongan dan bas ekspres supaya mematuhi undang-undang jalan raya.

"Kami tidak akan berkompromi dengan kesalahan dilakukan demi keselamatan penumpang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2024 @ 11:55 AM