BELLINGHAM azam tambah jaringan dalam aksi La Liga. FOTO AFP
BELLINGHAM azam tambah jaringan dalam aksi La Liga. FOTO AFP
Reuters

Madrid: Jude Bellingham berharap dapat menamatkan minggu yang mengagumkan dengan mengekalkan Real Madrid di puncak La Liga dan menambah jaringan golnya yang sudah mengagumkan di Sepanyol apabila pasukannya menerima kunjungan Rayo Vallecano Isnin ini.

Hujung minggu lalu Bellingham menyelamatkan Real dengan dua gol untuk memenangi aksi Clasico dalam kemenangan 2-1 di Barcelona ketika mereka mendahului empat mata daripada pasukan Catalan, dan selepas itu dia memenangi trofi untuk pemain muda terbaik dunia pada majlis Ballon d'Or .

"Memenangi trofi ini amat bermakna tetapi bagi saya perkara penting ialah trofi pasukan dan bagi saya adalah untuk meneruskan membantu Real Madrid serta England memenangi trofi selepas bertahun-tahun kemarau," kata Bellingham.

Sehingga kini, satu-satunya piala yang dimenanginya ialah Piala Jerman, tetapi perpindahannya ke Real sepatutnya memberinya lebih banyak peluang, kerana mereka berhasrat untuk merebut kembali gelaran liga daripada Barca.

Pemain berusia 20 tahun itu membuat permulaan yang menakjubkan dalam karier bersama Real sejak menandatangani kontrak dari Borussia Dortmund.

Pemain tengah itu adalah penjaring terbanyak La Liga dengan 10 gol dalam 10 perlawanan serta menjaringkan tiga lagi dalam Liga Juara-Juara.

Bellingham menjaringkan gol dalam setiap empat perlawanan liga pertamanya untuk Real, tidak memerlukan masa menyesuaikan diri kepada bola sepak Sepanyol.

Satu-satunya kekalahan pasukannya musim ini adalah menentang pesaing setempat, Atletico Madrid, tetapi aksi dengan Vallecano sepatutnya menjadi cerita yang berbeza.

Real menjadi tuan rumah kepada jiran Madrid mereka itu sebanyak 20 kali dalam saingan liga dan satu-satunya kemenangan Vallecano adalah pada 1996.

Real memenangi 17 daripada pertemuan berkenaan, menjaringkan 71 gol, dan Bellingham akan menikmati peluang untuk menambah jumlah golnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2023 @ 1:35 PM