Johari Abdul
Johari Abdul
Latifah Arifin


Kuala Lumpur: Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul merakamkan ucapan takziah atas pemergian tokoh politik negara Dr Syed Husin Ali, Sabtu lalu.

Beliau turut meminta Ahli Parlimen beragama Islam untuk menyedekahkan bacaan al-Fatihah kepada Allahyarham yang meninggal dunia pada usia 88 tahun.

Syed Husin yang didiagnosis menghidap kanser pankreas pada April lalu menghembuskan nafas terakhir di Hospital Selayang.

"Pada kesempatan ini, saya merakamkan takziah kepada seluruh keluarga Dr Syed Husin Ali, mantan Ahli Parlimen yang telah kembali ke rahmatullah pada 12.20 pagi, Sabtu 29 Jun 2023.

"Allahyarham pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Negara selama dua penggal daripada 2009 hingga 2015. Allahyarham juga terkenal sebagai tokoh politik negara yang gigih memperjuangkan isu keadilan sosial," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Johari berkata, Syed Husin antara tokoh akademik terkemuka yang banyak berjasa di negara ini.

Beliau antaranya perintis bidang sosiologi dan seorang daripada pengasas Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

"Kita berdoa semoga Allah SWT mencucuri rahmat dan Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang soleh dan beriman," katanya.

Syed Husin yang dilahirkan di Johor adalah seorang bekas profesor di Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Universiti Malaya (UM) pada 1985 hingga 1990 dan dikurniakan tiga anak, hasil perkahwinan dengan Sabariah Abdullah.

Allahyarham ketika hayatnya pernah memegang jawatan Timbalan Presiden PKR dan Presiden Parti Rakyat Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2024 @ 11:48 AM