Penganalisis bola sepak negara Datuk Richard Scully
Penganalisis bola sepak negara Datuk Richard Scully
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya tidak akan tempang atau hilang arah tanpa kehadiran empat tonggak utama yang terpaksa disisihkan pada baki dua aksi kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan dan Taiwan bulan depan.

Menurut penganalisis bola sepak negara Datuk Richard Scully, situasi terbabit bakal memberi ruang dan peluang kepada pemain baharu untuk 'meletup' atau membina nama jika disenaraikan dalam kesebelasan utama oleh pengendali Harimau Malaya Kim Pan-gon.

Beliau berkata, ketika ini barisan pemain yang dipanggil Pan-gon mempunyai kelebihan tersendiri sekali gus mahu beraksi bermati-matian untuk terus disenaraikan dalam pasukan kebangsaan pada masa akan datang.

"Saya lihat pasukan kebangsaan masih mampu menyerlah atau mencipta keputusan positif walaupun tanpa kehadiran pemain utama kerana mengalami kecederaan.

"Kita tidak tahu sebenarnya pemain-pemain baharu ini mampu mencipta kejutan dan sudah tentu mereka beranggapan inilah peluang untuk menyerlah atau menembusi kesebelasan utama.

"Sudah pastinya, Pan-gon mempunyai perancangan terbaik bagi menampung kekurangan pasukan dengan menyenaraikan pemain bersesuaian untuk menggalas cabaran kelak," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan skuad Harimau Malaya boleh dikatakan hilang bisanya berikutan terpaksa menguggurkan semua penjaring gol Piala Asia di Qatar bagi pertemuan membabitkan Kyrgyzstan dan Taiwan bulan depan.

Menerusi senarai nama yang dikeluarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memaklumkan semua penjaring gol ketika Piala Asia di Qatar membabitkan Arif Aiman Hanapi, Faisal Halim dan Romel Morales tidak dapat diturunkan kerana mengalami kecederaan.

Turut terlepas peluang untuk beraksi menentang Kyrgyzstan dan Taiwan pada 6 dan 11 Jun ini adalah tonggak Terengganu FC Azam Azmi Murad yang turut mengalami kecederaan ketika menentang Oman Mac lalu.

Pan-gon mengekalkan seramai 16 daripada 24 pemain dari skuad bagi dua perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman pada 21 dan 26 Mac lalu.

Antara pemain baharu yang tersenarai ialah penjaga gol, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi (Kedah Darul Aman FC), Adib Ra'op (Penang FC), Feroz Baharudin (Johor Darul Ta'zim), Declan Lambert (Kuala Lumpur City FC), Syafiq Ahmad (Kedah Darul Aman FC) dan Engku Shakir Engku Yacob (Terengganu FC).

Mengikut rekod, skuad Harimau Malaya akan turun beraksi untuk perlawanan kelima Kumpulan D menentang Kyrgyzstan pada 6 Jun di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek sebelum terbang pulang bagi bertemu Taiwan di Stadium Nasional Bukit Jalil lima hari kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 4:40 PM