Pengendali Inter Milan Simone Inzaghi diraikan pemain pasukannya baru-baru ini.
Pengendali Inter Milan Simone Inzaghi diraikan pemain pasukannya baru-baru ini.
AFP

Rome: Inter Milan mendominasi anugerah akhir musim Serie A dengan Simone Inzaghi dipilih sebagai jurulatih terbaik tahunan dan Lautaro Martinez mengungguli sebagai pemain terbaik.

Inzaghi, 48 tahun, dipilih oleh panel pengarah penerbitan sukan, kata liga itu.

"Hanya boleh menjadi seperti Simone Inzaghi," kata CEO Lega Serie A Luigi De Siervo dalam satu kenyataan.

"Inter mempunyai serangan dan pertahanan terbaik dan juga mengharungi 28 perlawanan tanpa kalah. Membuatkan pemainnya sentiasa bermain bola sepak yang menarik sambil mengekalkan komitmen tinggi dan ketepatan."

Penyerang Argentina Martinez menjadi kapten pasukan pada permulaan musim dan dinobatkan sebagai penjaring terbanyak dalam Serie A dengan 24 gol dalam 33 perlawanan.

"Musim Lautaro Martinez luar biasa dari segi prestasi dan kepimpinan," kata De Siervo.

Anugerah akan disampaikan sebelum perlawanan terakhir Inter musim ini di Verona.

Dua pemain Inter lain turut diberikan penghargaan dengan Serie A memberi anugerah kepada lima pemain lain.

Hakan Calhanoglu dipilih sebagai pemain tengah terbaik musim dan Alessandro Bastoni sebagai bek terbaik.

Michele Di Gregorio dari Monza meraih anugerah penjaga gol dan Dusan Vlahovic dari Juventus menjadi penyerang terbaik.

Joshua Zirkzee, penyerang Belanda berusia 23 tahun beraksi bersama Bologna, diumumkan sebagai pemain terbaik di bawah 23 tahun.

Menjelang pusingan akhir Ahad ini, Inter mempunyai kelebihan 19 mata berbanding AC Milan di tempat kedua.

Sejak Inzaghi mengambil alih di Inter pada tahun 2021, beliau membawa kelab itu menjulang tiga piala Super Itali, dua Piala Itali dan, musim lalu, ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara.

Walaupun mereka tersingkir di peringkat 16 pasukan dalam Liga Juara-Juara dan Piala Itali musim ini, namun Inter mendominasi Serie A menerusi 29 kemenangan, enam seri, dan hanya dua kekalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 10:08 AM