AKSI Martinez meraikan jaringannya ketika menentang Fiorentina.
AKSI Martinez meraikan jaringannya ketika menentang Fiorentina.
Reuters

Florence: Inter Milan merampas kedudukan teratas Serie A selepas menewaskan pasukan tangga kelima Fiorentina 1-0 hasil tandukan Lautaro Martinez awal pagi tadi.

Inter yang muncul juara Piala Super Cup Itali untuk kali ketiga berturut-turut minggu lalu kini satu mata di hadapan Juventus yang beraksi lebih satu perlawanan.

Juve melepaskan peluang menjarakkan kedudukan dengan Inter apabila hanya terikat 1-1 dengan Empoli di tempat sendiri semalam selepas beraksi hampir keseluruhan perlawanan dengan 10 pemain.

"Pasukan beraksi baik pada babak pertama dan di situ kami perlu menamatkannya dengan menjaringkan satu lagi gol," kata jurulatih Simone Inzaghi kepada wartawan.

"Jujurnya pada babak pertama saya tak puas hati dengan 1-0. Fiorentina selalu membuatkan anda derita, ia penting tetapi bukan kemenangan sewajarnya."

Fiorentina hampir mendapat gol selepas M'Bala Nzola memperdayakan penjaga gol lawan Yann Sommer minit ke-11 tetapi penyerang Angola didapati ofsaid terlebih dahulu.

Martinez meletakkan Inter di depan tiga minit kemudian menerusi tandukan dari sudut sukar selepas mendapat hantaran sepakan sudut.

Inter beraksi tanpa pemain tengah yang digantung permainan Hakan Calhanoglu dan Nicolo Barella membolehkan Fiorentina menguasai lebih perlawanan tetapi dihampakan ketumpulan penyudah.

Fiorentina belum lagi memenangi aksi Serie A mereka pada 2024 selepas tewas dua kali dan seri sekali. Mereka menduduki tangga kelima dengan 34 mata dan berkunjung ke Leece Jumaat ini manakala Inter melayan Juventus pada 4 Februari.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2024 @ 10:22 AM