REAKSI pemain Inter Milan, Hakan Calhanoglu selepas tamat perlawanan.
REAKSI pemain Inter Milan, Hakan Calhanoglu selepas tamat perlawanan.
AFP

Genoa, Itali: Inter Milan membenarkan Napoli melebarkan jurang kepada 15 mata di puncak Serie A selepas hanya seri tanpa jaringan di Sampdoria awal pagi tadi.

Skuad Simone Inzaghi kini tampak sukar merampas kembali gelaran liga yang terlepas kepada pencabar setempat AC Milan musim lalu dan jurang mereka dengan Napoli semakin melebar susulan aksi hambar di Genoa.

Napoli pula mudah menewaskan Cremonese 3-0 semalam dan berada dalam landasan tepat meraih gelaran liga pertama mereka sejak 1990.

Inter di tangga kedua dengan tiga mata di depan Atalanta, Roma dan Milan dalam persaingan ke Liga Juara-Juara musim depan manakala Lazio lima mata di belakang di tangga keenam selepas menewaskan Atalanta di Rome kelmarin.

Ketika ditanya sama ada gelaran liga di luar jangkauan pasukannya, Inzaghi berkata: "Saya selalu bercakap kami hanya perlu melihat diri sendiri.

"Kami tidak puas hati dengan keputusan, malah kami sangat kecewa dalam perlawanan sepatutnya kami menang."

Inzaghi memilih Romelu Lukaku bergandingan dengan Lautaro Martinez, kombinasi berbisa yang membawa Inter menjuarai Scudetto 2021.

Namun Lukaku gagal mengulangi prestasi yang menarik perhatian Chelsea yang membelinya dengan harga rekod kelab musim lalu dan penyerang Belgium itu digantikan dengan Edin Dzeko pada babak kedua.

Bagi Sampdoria pula, keputusan seri itu melegakan mereka tetapi masih bergelut dalam zon penyingkiran selepas hanya mengutip 11 mata daripada 22 perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2023 @ 8:17 AM