Penyerang Inter Milan, Lautaro Martinez jadi buruan Tottenham dan Arsenal. FOTO Agensi
Penyerang Inter Milan, Lautaro Martinez jadi buruan Tottenham dan Arsenal. FOTO Agensi
Agensi

Milan: Ejen penyerang Inter Milan, Lautaro Martinez memberitahu pemain itu langsung tidak memikirkan untuk meninggalkan kelab Itali berkenaan malah sudah bersedia mengadakan rundingan kontrak baru.

Pemain berusia 23 tahun itu dikaitkan ke Tottenham berikutan spekulasi mengenai masa depan Harry Kane serta Arsenal yang berminat mendapatkan khidmatnya.

Bagaimanapun, wakil pemain kebangsaan Argentina itu, Alejandro Camano, menolak khabar angin berkenaan dan menegaskan Martinez ingin mencapai persetujuan baru bersama kelabnya.

"Kami akan melakukan segala yang mungkin untuk kekal berada di Nerazzurri. Martinez sangat seronok di Milan, dia mempunyai hubungan baik dengan rakan sepasukannya dan pengurus baru (Simone Inzaghi).

"Dia mendengar banyak khabar angin mengenai dirinya tetapi dalam masa sama dia tidak menganggap ia sesuatu yang serius. Kami percaya bahawa masih ada kehidupan berada di Inter," kata Camano kepada FC Inter News.

Martinez menyertai juara Serie A itu dari Racing Club pada Julai 2018 dan melakukan 132 penampilan untuk kelab itu.

Selain meledak 17 gol dalam 38 penampilan musim lalu ketika Inter merangkul gelaran Serie A pertama mereka dalam tempoh 11 tahun.

Selepas penyertaan semula Romelu Lukaku ke Chelsea, Inter turut melakukan pelaburan mendapatkan bintang Belanda pada Euro 2020, Denzel Dumfries dan penyerang berpengalaman, Edin Dzeko, dari Roma.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Ogos 2021 @ 1:31 PM