MARTINEZ menjulang trofi Piala Super Itali selepas menjaringkan gol kemenangan Inter. FOTO REUTERS
MARTINEZ menjulang trofi Piala Super Itali selepas menjaringkan gol kemenangan Inter. FOTO REUTERS
Reuters

Riyadh: Kapten Inter Milan, Lautaro Martinez menjaringkan gol saat akhir untuk kemenangan dramatik 1-0 ke atas Napoli yang beraksi dengan 10 pemain, sekali gus merangkul trofi Piala Super Itali kali ketiga berturut-turut.

Kemenangan itu menyaksikan Inter meraih gelaran Supercoppa buat kali kelapan, hanya satu gelaran di belakang Juventus yang mencipta rekod selaku juara sembilan kali.

Perlawanan di Al-Awwal Park itu adalah final pertama dalam format baharu Piala Super yang membabitkan empat pasukan termasuk pemenang dan naib juara liga Itali dan piala.

"Kami harus mengucapkan tahniah kepada Napoli, mereka bermain dengan bagus," kata pengurus Inter, Simone Inzaghi, yang mencipta rekod sebagai jurulatih memenangi Supercoppa sebanyak lima kali.

"Kami bermain di separuh akhir, tiga hari lalu dan final pada hari ini, ia sesuatu yang baru kepada semua orang. Kami kekal fokus dengan sepenuh hati."

Gol kemenangan Martinez dihasilkan pada masa kecederaan apabila Benjamin Pavard membuat larian solo dan mengumpan dari sebelah kanan ke dalam kotak penalti yang mudah disempurnakan penyerang Argentina itu.

Inter menguasai perlawanan, tetapi bergelut mengambil kesempatan selepas Giovanni Simeone dibuang padang selepas sejam perlawanan akibat kad kuning kedua kerana mengasari Francesco Acerbi.

"Saya sangat bangga dan gembira. Kami tersingkir di Piala Itali, jadi kami mahu menang Piala Super," kata Martinez, yang menjaringkan 21 gol daripada 27 perlawanan di semua kejohanan, musim ini.

"Ia memang mencabar, kami kurang rehat dan kurang tajam, tetapi saya bangga dengan pasukan ini. Gol itu adalah emosi yang hebat, momen yang unik."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2024 @ 8:00 AM