GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Seorang akauntan warga emas kerugian lebih RM2.2 juta selepas selepas terpedaya dengan penipuan pelaburan saham.

Ketua Polis Johor Komisioner M Kumar berkata, lelaki tempatan berusia 75 tahun itu membuat laporan polis, semalam selepas percaya dirinya ditipu dan mengalami kerugian RM2,276,000.

Beliau berkata, warga emas itu melaporkan, ketika di rumah pada 19 Disember lalu, mangsa menerima pesanan melalui aplikasi WhatsApp berkaitan pelaburan pembelian saham.

"Mesej itu memberi penerangan berkenaan cara melabur dan menjanjikan keuntungan lumayan, mudah dan dalam masa yang singkat.

"Tertarik dengan keuntungan dijanjikan, mangsa mengikut arahan suspek dengan memuat turun aplikasi serta mendaftar akaun di aplikasi itu bagi memantau pelaburannya," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian memulakan pelaburan pada Mei dan Jun lalu dengan memasukkan wang ke beberapa akaun bank atas arahan suspek.

Katanya, mangsa melihat status pelaburannya di aplikasi yang diberikan dan mendapati ia mencatatkan keuntungan berjumlah RM12.9 juta.

"Teruja dengan keuntungan yang dipaparkan, mangsa memutuskan untuk mengeluarkan wang keuntungan yang diperoleh.

"Bagaimanapun, suspek mengarahkan mangsa membayar komisen berjumlah RM1.6 juta dan mangsa tidak membuat bayaran berkenaan kerana mengesyaki dia ditipu," jelasnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2024 @ 11:04 AM