PEMAIN Turkiye, Hakan Calhanoglu. FOTO Agensi
PEMAIN Turkiye, Hakan Calhanoglu. FOTO Agensi
Agensi

Dortmund, Jerman: Turkiye bakal memulakan kempen dalam saingan Euro 2024 dengan menentang Georgia apabila meletakkan misi memburu tiga mata penuh sekaligus berpeluang memperbaiki kegagalan edisi lalu.

Pada edisi 2020 lalu, Turkiye gagal melepasi peringkat kumpulan dan aksi pertama Kumpulan F bertemu Georgia perlu digunakan sebaiknya.

Begitupun, prestasi pasukan itu sejak November lalu tidak menentu apabila tewas dalam lima aksi terakhir termasuk dibelasah Austria 1-6 pada aksi persahabatan antarabangsa Mac lalu.

Bintang Turkiye, Hakan Calhanoglu yang beraksi untuk Inter Milan dalam saingan Serie A mahu menjadikan di Jerman sebagai medan kebangkitan.

"Edisi lalu kami terkandas awal. Kami mahu tampil lebih baik tahun ini agar dapat kembalikan semula bola sepak Turkiye.

"Kami sedar ia bukan mudan namun kami tidak akan mengalah. Semua pasukan masih berpeluang dan kami juga ada peluang," katanya.

Pencapaian terhebat Turkiye di peringkat antarabangsa adalah pada Piala Dunia 2002 apabila negara itu menamatkan saingan di tangga ketiga di belakang Brazil dan Jerman.

Di saingan Euro pula, Turkiye pernah muncul pasukan ketiga terbaik pada 2008 yang juga pencapaian terbaik negara itu di saingan Eropah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2024 @ 11:02 AM