SHAHRIL berkata beliau tidak diberitahu mengenai pemain SFC dipanggil polis. FOTO Bernama
SHAHRIL berkata beliau tidak diberitahu mengenai pemain SFC dipanggil polis. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Shah Alam: Selangor FC (SFC) mengesahkan tiada pemainnya dipanggil Polis berhubung kes simbah asid terhadap tonggak pasukan bola sepak kebangsaan, Faisal Halim.

Walaupun terdapat desas-desus yang mengatakan pemain SFC turut menerima ugutan namun Ahli Lembaga Pengarah (SFC) Datuk Seri Shahril Mokhtar memberitahu bahawa setakat ini hanya dua individu pengurusan tertinggi pasukan itu saja dipanggil Polis berdasarkan kepada laporan yang dibuat baru-baru ini.

Beliau berkata, pihaknya tidak mahu mencampuri urusan siasatan berkaitan kes terbabit dan menyerahkan sepenuhnya kepada Polis bagi mengenal pasti suspek simbahan asid itu.

"Selangor FC itu (pemimpin SFC) adalah disebabkan ugutan beberapa hari lalu. Saya tidak boleh komen lebih kerana takut mengganggu siasatan.

"Laporan Polis dibuat disebabkan ugutan dan mereka kena pergi ke balai untuk bantu siasatan.

"Setakat ini, saya tidak diberitahu mengenai pemain SFC dipanggil, belum ada," katanya.

Sebelum ini, Polis mengambil keterangan dua pengurusan Selangor FC yang sebelum ini didakwa mungkin menjadi sasaran seterusnya susulan insiden menimpa Faisal.

Mengikut rekod, Faisal diserang ketika berada di sebuah pusat membeli belah terkemuka di Kota Damansara, Petaling Jaya.

Berikutan itu, Faisal mengalami kecederaan melecur tahap empat pada badan dan mukanya selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon menerima ugutan apabila dikhabarkan bakal menjadi sasaran seterusnya simbahan asid.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2024 @ 1:39 PM