AKSI antara Real dan Granada pagi tadi. FOTO AFP
AKSI antara Real dan Granada pagi tadi. FOTO AFP
AFP

Barcelona: Juara liga Sepanyol, Real Madrid meraih kemenangan 4-0 ke atas Granada yang tersingkir ke divisyen kedua untuk memulakan sambutan kejuaraan mereka.

Skuad kendalian Carlo Ancelotti akan mengarak trofi liga hari ini di ibu negara Sepanyol dan pasukan yang membariskan skuad simpanan tidak berdepan masalah untuk menumpaskan Granada.

Brahim Diaz menjaringkan dua gol dengan Fran Garcia dan Arda Guler turut mencetak nama sebagai penjaring buat Real, yang menewaskan Bayern Munich pada pertengahan minggu lalu untuk mara ke final Liga Juara-Juara Eropah.

Los Blancos memperoleh kejuaraan kali ke-36 hujung minggu lalu dengan baki empat perlawanan, tetapi memilih untuk tidak meraikannya bagi memberi tumpuan kepada pertembungan Bayern.

Dua gol lewat daripada pemain gantian, Joselu memuktamadkan perlawanan itu dengan cara yang dramatik dan pemain Sepanyol itu beraksi dalam kesebelasan utama di hadapan penyokong sendiri menentang Granada, dengan hanya Antonio Rudiger disenaraikan daripada pasukan yang menewaskan gergasi Jerman itu.

"Objektifnya adalah untuk tiba bersama skuad dalam keadaan terbaik mereka untuk hari perlawanan akhir, dan kami akan melakukannya," kata Ancelotti.

Selepas penyerang Paris Saint Germain, Kylian Mbappe mengesahkan bahawa dia akan meninggalkan pasukan Perancis itu, ramai peminat Real juga memikirkan ketibaannya semakin menjadi kenyataan.

Bagaimanapun, jurulatih Real, Ancelotti hanya memikirkan perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah di London.

"Ia bukan topik yang saya fikirkan pada masa ini," tambah Ancelotti.

"Kami perlu meraikan esok (hari ini) bersama peminat kami dan sehingga 1 Jun kami tahu apa yang perlu kami fikirkan."

Granada, tempat ke-19, tersingkir sebelum sepak mula selepas Mallorca menewaskan Las Palmas untuk memastikan pasukan itu tidak dapat melarikan diri dari zon penyingkiran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2024 @ 9:23 AM