LUNIN (kanan) mudah menyelamatkan sepakan penalti diambil Silva. FOTO AFP
LUNIN (kanan) mudah menyelamatkan sepakan penalti diambil Silva. FOTO AFP
Reuters

Manchester: Penjaga gol Real Madrid, Andriy Lunin muncul hero ketika penentuan sepakan penalti yang menyaksikan mereka menewaskan Manchester City 4-3 untuk mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL), awal pagi tadi.

Tetapi, Lunin mengakui kemampuannya menyelamatkan sepakan penalti Bernardo Silva memang benar-benar nasib.

Lunin menyelamatkan dua penentuan sepakan penalti selepas perlawanan diheret ke masa tambahan berikutan kedua-dua pasukan terikat 1-1 di suku akhir kedua itu dan 4-4 secara agregat.

Sepakan penalti Silva terus ke tengah gawang dan Lunin berkata, keputusan dibuat dengan jurulatih Real sebelum penentuan sepakan penalti itu membolehkan dia mudah menyelamatkannya.

"Saya perlu mengambil risiko dalam salah satu sepakan itu dan kami mengambil keputusan untuk saya berdiri di tengah-tengah, nasib baik keputusan memihak kepada kami," kata Lunin kepada Movistar Plus+ dengan lega.

"Ia adalah perlawanan UCL di tempat lawan dan kami melalui kesengsaraan. Tetapi, saya bangga dengan pasukan terhadap apa yang kami perjuangkan. Saya tidak boleh bayangkan diri saya berlari seperti dilakukan rakan sepasukan malam ini."

Penjaga gol Ukraine berusia 25 tahun itu terpaksa menunggu lama untuk mendapat peluang di Real, berikutan menjadi pilihan kedua di belakang penjaga gol Belgium, Thibaut Courtois.

Sebelum musim ini, dia hanya bermain sembilan kali sejak menyertai Real dari Zorya Luhansk pada 2018.

Sementara itu, pengurus Real, Carlo Ancelotti mengakui bangga apabila pasukannya berjuang habis-habisan dalam perlawanan besar seperti awal pagi tadi.

"Saya percaya tiada cara lain untuk mengalahkan Manchester City di sini. Saya bangga dengan apa yang kami lakukan," kata Ancelotti.

"Apabila perlawanan diheret ke penentuan sepakan penalti, kami yakin mampu menang. Anda bekerja keras, berkorban dan menang dengan apa cara sekalipun.

"Kami bertahan dengan baik. Ia mengenai perjuangan, Madrid adalah kelab yang sentiasa berjuang untuk berada dalam situasi seolah-olah tiada jalan keluar, tetapi selalunya kami menemui jalan itu."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 8:54 AM