NOORUL menyerahkan cek khairat kematian kepada isteri Khalid, Siti Norkhanah. FOTO YAKEB
NOORUL menyerahkan cek khairat kematian kepada isteri Khalid, Siti Norkhanah. FOTO YAKEB
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: "Saya masih ingat masa dia (Allahyarham Khalid) terjaga daripada koma, ia terus bercakap tentang bola sepak dengan saya."

Itu antara luahan dan 'wasiat' Khalid Ali kepada Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb), Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed ketika menziarahnya sewaktu di hospital.

Katanya, meskipun ketika itu Khalid berada dalam keadaan masih kurang sihat tetapi dia masih bersemangat berbicara soal bola sepak negara dan menyatakan tiada kejayaan 'mee segera' sekiranya ingin beraksi di pentas Sukan Olimpik.

Tambahnya, untuk sampai ke temasya itu, pasukan negara memerlukan masa sekurang-kurang lima tahun untuk membentuk sebuah pasukan terbaik sekali gus mencerahkan peluang ke pentas itu.

"Saya masih ingat masa dia terjaga daripada koma, ia terus bercakap tentang bola sepak dengan saya. Dia kata budak-budak (pemain) perlukan masa lebih lama, bukannya setahun dua untuk masuk ke Olimpik sebaliknya lima ke enam tahun punya program.

"Saya minta dia supaya berehat dan biarkan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) jaga pasukan. Masa dia sakit pun dia mahu bola sepak kita kembali gembilang seperti zaman dulu.

"Itulah cita-cita dia, jadi saya harap pemain muda sekarang boleh kabulkan impiannya," katanya selepas majlis serahan cek khairat kematian kepada isteri Khalid, Siti Norkhanah Mohammed Yatim.

Pada masa sama, Yakeb memaklumkan mereka sudah pun berbelanja hampir RM500,000 membabitkan pelbagai keperluan bekas atlet.

"Bukan saja khairat tetapi sumbangan bulanan dan juga bantuan kos hospital. Kita akan ziarah bagi laksanakan amanah untuk menjaga bekas atlet," katanya.

Terdahulu Arena Metro melaporkan bekas pemain kebangsaan era 70 an itu menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Universiti Malaya akibat kanser paru-paru pada Februari yang lalu.

Untuk rekod, Arwahyarham pernah mewakili negara dari 1977 hingga 1985 dan membantu skuad Harimau Malaya layak ke Sukan Olimpik 1980 di Moscow, Rusia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2024 @ 5:56 PM