KHALID Ali menghembuskan nafas terakhir di PPUM. FOTO OSMAN ADNAN
KHALID Ali menghembuskan nafas terakhir di PPUM. FOTO OSMAN ADNAN
Firdaus Hashim dan Syazwan Msar


Kuala Lumpur: "Kalau ada orang kata makan bola, tidur bola...orang itu adalah Khalid Ali. Cintanya pada bola sepak cukup mendalam."

Itu kata Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb), Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed yang mengakui sedih dengan pemergian bekas pemain bola sepak negara, Khalid Ali yang meninggal dunia hari ini.

Menurut Noorul, dia sempat hadir bertemu Khalid dua hari lalu di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) yang sedang mendapatkan rawatan.

Katanya, ketika dia menziarahi Khalid, arwah dilihat cukup bersemangat dan topik perbincangan tetap mengenai bola sepak terutama tentang kejayaan skuad Harimau Malaya mengikat Korea Selatan di peringkat kumpulan saingan Piala Asia di Qatar, dua minggu lalu.

"Saya jumpa arwah Ahad lalu, dan dia nampak sihat dan macam biasa cakap pasal bola. Dia cakap kat saya, pasukan negara bawah Kim Pan-gon ini boleh pergi jauh.

"Dia cakap macam-macam tentang masa depan bola sepak kita hinggakan dia lupa yang dia sedang mendapatkan rawatan kanser.

"Itulah Khalid yang saya kenal. Dia memang sayangkan sangat bola sepak Malaysia dan sebab itu setiap kritikan dia, semuanya ikhlas dan boleh diterima kerana dia mahukan yang terbaik untuk pasukan," katanya ketika ditemui di Unit Forensik PPUM, di sini, hari ini.

Terdahulu, legenda bola sepak negara, Khalid Ali menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 66 tahun hari ini pada jam 3 petang tadi selepas hampir setahun bertarung dengan kanser paru-paru.

Bekas pemain Selangor itu menyarung jersi skuad kebangsaan dari 1977 hingga 1985 yang mana pencapaian terbaiknya membantu skuad Harimau Malaya layak ke Sukan Olimpik 1980 di Moscow, Rusia.

Ujar Noorul lagi, seluruh ahli Yakeb pastinya bersedih dengan kehilangan arwah yang disifatkan cukup aktif dalam membantu kerja-kerja kebajikan membabitkan atlet kebangsaan.

"Dia kawan baik saya. Dia memang aktif dalam semua hal-hal kebajikan atlet. Bila dia tak ada, dah tentu kami rasa sangat sedih kerana tak dapat dengar lagi gurauan dia," katanya.

Jelasnya lagi, Yakeb akan menyerahkan sumbangan khairat kematian kepada keluarga arwah dan beberapa lagi bentuk bantuan lain selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2024 @ 10:00 PM