NOORUL Ariffin (kanan) selepas menyampaikan Skim Bantuan Khas Khairat Kematian Ahli Yakeb di Seberang Jaya di sini. FOTO DANIAL SAAD
NOORUL Ariffin (kanan) selepas menyampaikan Skim Bantuan Khas Khairat Kematian Ahli Yakeb di Seberang Jaya di sini. FOTO DANIAL SAAD
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) menyalurkan bantuan melalui skim khas berjumlah lebih RM270,000 bagi membantu seramai 332 individu untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM28,000 bantuan diperuntukkan membabitkan khairat kematian.

Presidennya, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed, berkata pihaknya bertanggungjawab dalam memastikan kebajikan ahli khususnya atlet serta ahli keluarga mereka di bawah yayasan itu terjaga.

"Selain bantuan khariat kematian, manfaat rawatan perubatan juga diberikan untuk ahli yang berdepan penyakit kritikal iaitu membabitkan seorang ahli dengan peruntukan sebanyak RM17,000.

"Pada masa ini, seramai 257 ahli menerima manfaat rawatan perubatan hospital yang keseluruhan berjumlah RM117,334.35.

"Dalam pada itu, seramai 10 ahli turut menerima bantuan alat sokongan perubatan bernilai RM35,655.20; sembilan ahli menerima bantuan bencana alam (bernilai RM4,500); tiga bantuan melangsungkan perkahwinan (RM750) dan 35 ahli lagi menerima bantuan kewangan yang dianggarkan bernilai RM63,000," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan bantuan khairat kematian untuk waris dua bekas atlet negara iaitu Allahyarham Safarrudin Mohd Zain dalam sukan berbasikal dan pemain bola sepak Allahyarham Rahim Mohamad di Seberang Jaya, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Noorul Ariffin berkata, pihaknya turut menyalurkan bantuan pelajaran di peringkat sijil, diploma dan ijazah kepada enam orang anak ahli dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM4,500.

"Yakeb menitikberatkan soal kebajikan ahli dari segala aspek termasuk berkaitan pelajaran anak-anak ahli," katanya.

Sementara itu, , waris kepada Allahyarham Safarrudin iaitu anaknya, Sabrina, 42, bersyukur dan berterima kasih kepada pihak Yakeb atas sumbangan yang diberikan.

"Saya bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang menyalurkan bantuan ini tanda mengingati arwah ayah.

"Semoga dengan sumbangan ini, membolehkan kami sekeluarga meneruskan amal jariah untuk arwah ayah sebagai bekalannya di sana," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Julai 2023 @ 9:27 PM