KHALID ALI
KHALID ALI
Firdaus Hashim


KUALA LUMPUR: Menyedari kekangan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) dalam menjaga kebajikan bekas atlet kebangsaan, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) digesa bekerjasama dengan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) untuk mewujudkan dana khas bagi membantu bekas pemain kebangsaan yang menghadapi masalah kewangan dan kesihatan.

Ini bersesuaian dengan status bola sepak sebagai sukan nombor satu negara sekali gus memudahkan FAM dan PFAM mencari penaja bagi menjayakan misi murni itu.

Misi itu bukan mustahil kerana syarikat korporat lazimnya tidak keberatan menyalurkan dana bagi tujuan kebajikan kerana mereka memperoleh pelepasan cukai daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Bekas pemain kebangsaan era lewat 70-an, Khalid Ali berkata, ada ramai bekas pemain seangkatannya memerlukan pertolongan khususnya dalam bentuk rawatan perubatan.

Katanya, ketika ini PFAM serius membantu pemain yang aktif bermain khususnya dalam isu tunggakan gaji.

"Saya rasa baik kalau PFAM meluaskan bidang kuasa dan bantuan mereka kepada bekas pemain yang memasuki usia emas dari umur 50 hingga 70 tahun.

"PFAM badan yang menjaga kebajikan pemain sekarang, tapi apa salahnya bantu bekas pemain berusia juga. Pemain sekarang satu hari nanti akan bersara dan memegang status bekas pemain.

"Sebenarnya, bentuk bantuan diperlukan lebih kepada rawatan perubatan. Mungkin PFAM boleh sedia insurans. Kalau ini dilaksanakan, kita tak perlu terlalu bergantung kepada Yakeb," katanya.

Untuk rekod, Yakeb kini mempunyai 2,875 ahli daripada bekas atlet pelbagai sukan dengan separuh daripadanya bekas pemain bola sepak.

Sebelum ini, media melaporkan bekas penyerang kebangsaan, Khalid Jamlus bergolok-gadai demi meneruskan kelangsungan hidup, bekas pemain pertahanan negara, Salahuddin Che Rose, pernah menjadi gelandangan manakala bekas pemain Olimpik Munich 1972, Syed Ahmad Abu Bakar, menghidap kanser prostat.

Khalid yang pernah membantu Malaysia menewaskan Korea Selatan 2-1 dalam aksi penentuan kelayakan Sukan Olimpik Moscow 1980, berharap FAM juga membantu menyalurkan dana kepada bekas pemain.

"Bekas pemain ini dahulu beraksi atas nama FAM dalam semua kejohanan antarabangsa. Dah macam-macam mereka buat demi kejayaan dan mengharumkan nama negara, jadi tiba masanya FAM bantu dengan serius," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Julai 2020 @ 6:00 AM