Noorul (kanan) menyampaikan skim bantuan khas Yakeb kepada keluarga Muslifah di Pulau Pinang.
Noorul (kanan) menyampaikan skim bantuan khas Yakeb kepada keluarga Muslifah di Pulau Pinang.
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) sedang berusaha membantu keluarga Allahyarhamah Muslifah Zulkifli, mendapatkan pengurangan baki kos rawatan bekas atlet penembak itu di sebuah hospital swasta di sini.

Muslifah meninggal dunia 6 November lalu akibat jangkitan kuman dalam paru-paru selepas 52 hari menerima rawatan di hospital berkenaan.

Pengerusi Yakeb Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata, pihaknya sudah bertemu dengan Ketua Menteri Chow Kon Yeow semalam, bagi membincangkan perkara itu.

Kata beliau, Kon Yeow meminta pihaknya menyediakan surat sokongan bagi urusan mendapatkan potongan harga atau bayaran secara ansuran daripada pengurusan hospital.

"Pada pertemuan itu, Ketua Menteri meminta Yakeb menulis surat permohonan dan akan memaklumkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Soon Lip Chee bagi bantuan lain.

"Kita juga akan cuba dapatkan bantuan daripada Majlis Sukan Negara dan negeri," katanya.

Terdahulu, Noorul Ariffin ditemui ketika menziarah keluarga Muslifah di Jelutong semalam bagi menyerahkan sumbangan khairat kematian kepada keluarga Allahyarhamah.

Hadir sama tokoh bola sepak Malaysia, Shukor Salleh.

Sementara itu, suami Muslifah, Mohd Syamim Saharruddin, 36, berkata, dia berterima kasih dengan sumbangan diberikan semua pihak bagi membantunya menyelesaikan kos rawatan yang tertunggak itu.

Katanya, keseluruhan kos rawatan berkenaan berjumlah RM450,000 dan sehingga kini, dia sudah menjelaskan lebih RM200,000 menggunakan wang simpanannya.

"Saya sudah berbincang dan mendapatkan budi bicara pihak hospital supaya dapat mengurangkan baki kos rawatan berkenaan dan setakat ini, mereka memberi kerjasama yang baik.

"Jika ada sumbangan daripada pihak tertentu (yang mana arwah pernah berurusan), ia adalah bagi mengenang jasa Muslifah sepanjang mewakili negara dalam sukan menembak," katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan, Muslifah yang sedang hamil enam bulan meninggal dunia selepas dimasukkan ke Hospital Gleneagles Pulau Pinang akibat jangkitan Covid-19.

Bayi yang dikandung Muslifah tidak dapat diselamatkan, namun selepas itu keadaan arwah stabil dan bebas Covid-19.

Bagaimanapun, keadaan kesihatan atlet itu semakin merosot akibat jangkitan kuman dalam paru-paru sebelum menghembuskan nafas terakhir di sisi suaminya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 November 2021 @ 3:07 PM