KETUA Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki. FOTO BERNAMA
KETUA Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki. FOTO BERNAMA
Paya Linda Yahya


Gua Musang: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan sudah menjalankan siasatan berkaitan isu membabitkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menjelaskan siasatan pihaknya hanya tertumpu kepada satu isu iaitu pembinaan projek National Training Centre (NTC) di Putrajaya.

Beliau menegaskan, pihaknya tidak akan masuk campur mengenai isu pentadbiran badan induk bola sepak negara itu.

"Kes ini kita anggap sebagai satu yang membabitkan kepentingan awam. Kita melihat pada maklumat diberikan, jadi kita tumpukan kepada satu isu sajalah yang mana melibatkan isu pembinaan projek National Training Centre (NTC).

"Untuk makluman semua, ini adalah sebenarnya funding datang sebanyak RM25 juta daripada pihak Fifa (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa), bukan duit FAM.

"Jadi FAM cuma menjalankan perolehan melalui tender dan sebagainya dan sudah dikemukakan kembali kepada Fifa untuk pemilihan terakhir. Pihak Fifa sudah bersetuju dengan syarikat berkaitan.

"Dua minggu lagi (selepas siasatan) kalau tidak ada kes, kita akan cakap tiada kes, kalau ada kes kita akan cakap ada kes yang menunjukkan kesalahan berlaku. Kita akan membawa cadangan untuk pertuduhan dan sebagainya." katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pejabat SPRM Cawangan Gua Musang di Dewan Datuk Ariffin Said Ibu Pejabat KESEDAR, di sini, hari ini.

FAM sebelum ini menjadi perhatian umum susulan tersebar surat layang dengan pembinaan NTC turut menjadi isu selepas projek itu turut disebut dalam surat berkenaan.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman menjelaskan pihaknya tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan sehingga siasatan SPRM selesai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2024 @ 5:13 PM