SETIAUSAHA Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Noor Azman Rahman ketika ditemui media selepas Sidang Media Seminar Integriti FAM di Wisma FAM, semalam. FOTO BERNAMA
SETIAUSAHA Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Noor Azman Rahman ketika ditemui media selepas Sidang Media Seminar Integriti FAM di Wisma FAM, semalam. FOTO BERNAMA
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman mengakui lega selepas pihaknya diisytiharkan 'bersih' daripada dakwaan salah guna kuasa membabitkan projek Pusat Latihan Kebangsaan (NTC) dan penyalahgunaan dana bagi penganjuran kongres oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Jelas Azman, beliau dan kesemua pihak di FAM rasa bersyukur selepas dituduh melakukan kesalahan oleh individu tidak bertanggungjawab.

"Perkara ini (dakwaan dalam surat layang) memang membebankan kita kerana tiada apa yang boleh kita buat sepanjang tempoh hampir dua bulan itu.

"Keadaan itu melegakan kita apabila SPRM memaklumkan kes itu sebagai NFA (Tiada Tindakan Lanjut).

"Jadi kita bersyukur kerana segala apa yang kita buat memang diiktiraf dari segi urus tadbir dan kita ikut undang-undang Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA)," kata Noor Azman.

Sebelum ini, tular di media sosial surat layang dalam bentuk e-mel yang membangkitkan isu kepimpinan dan pengurusan FAM sehari sebelum Kongres FAM diadakan, 1 April lalu.

Empat perkara utama yang dibangkitkan ialah penyalahgunaan kuasa oleh Setiausaha Agung FAM, gaji serta manfaat staf, isu membabitkan skuad Harimau Malaya dan projek NTC.

Susulan perkembangan ini, Noor Azman menegaskan fokus badan induk itu ketika ini adalah untuk terus memandang ke depan dengan menjayakan perancangan yang sudah dirancang untuk bola sepak negara.

"Kita tak mahu toleh ke belakang lagi sebab kena nak fikir banyak lagi (perancangan). Kita ada dua perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027. Selepas itu kita ada skuad Bawah 17 tahun (B-17) dan Skuad Bawah 20 tahun (B-20).

"Kita pun (perlu buat persediaan) untuk Piala AFF nanti, Liga Malaysia (Liga M) jadi kita kena teruskan semua ini untuk kita boleh maju ke depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2024 @ 2:21 PM