SPRM
SPRM
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah merakam percakapan seramai 14 saksi dan 10 premis diperiksa bagi membantu siasatan berkaitan penyelewengan dan rasuah membabitkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Menurut sumber, siasatan itu memberi fokus utama kepada cadangan projek pembinaan National Training Center (NTC) di Putrajaya yang dianggarkan bernilai RM25 juta.

"Hasil siasatan ke atas projek pembinaan NTC, mendapati peruntukan yang dikeluarkan adalah daripada sumber Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA)," katanya.

Menurutnya, seramai tujuh kontraktor sudah dipanggil untuk menyertai tender berkenaan.

"Tiga syarikat yang disenarai pendek adalah berdasarkan keupayaan dan tawaran yang ditetapkan dan mengikut spesifikasi FIFA.

"Ketiga-tiga syarikat sudah dikemukakan kepada FIFA yang bermesyuarat pada 8 April lalu dan melantik sebuah syarikat untuk melaksanakannya.

"Status semasa adalah penyediaan dokumen perjanjian kontrak oleh FAM hasil daripada keputusan pemilihan yang dibuat sendiri oleh FIFA," katanya.

Menurutnya, siasatan kes FAM kini sudah hampir siap dan akan dikemukakan kepada Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan untuk kajian dan keputusan.

"Setakat ini, SPRM tidak menemui sebarang penyelewengan dan rasuah dalam kes berkaitan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan bahawa siasatan menyeluruh sudah dilaksanakan berhubung perkara itu.

"Sebagaimana yang dijelaskan, SPRM hanya memfokuskan kepada isu-isu kesalahan di bawah Akta SPRM 2009.

"Namun menyerahkan kepada bahagian pendakwaan untuk sebarang keputusan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 2:57 PM