LAKARAN dan peta NTC yang bakal dibina di Presint 5, Putrajaya.
LAKARAN dan peta NTC yang bakal dibina di Presint 5, Putrajaya.

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menjalankan siasatan ke atas isu membabitkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Setakat ini, SPRM merakam percakapan 14 saksi dan membuat pemeriksaan ke atas 10 premis yang berkaitan dengan tohmahan itu.

Menurut sumber, siasatan ini memberikan fokus utama kepada cadangan projek pembinaan National Training Center (NTC) di Putrajaya yang dianggarkan berjumlah RM25 juta.

Hasil siasatan ke atas projek pembinaan NTC mendapati peruntukan yang dikeluarkan adalah daripada sumber Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa).

Sebanyak tujuh kontraktor dipanggil untuk menyertai tender berkenaan dan tiga syarikat disenarai pendek berdasarkan keupayaan dan tawaran yang ditetapkan dan mengikut spesifikasi Fifa.

Ketiga-tiga syarikat telah dikemukakan kepada Fifa yang bermesyuarat pada 8 April 2024 dan telah melantik sebuah syarikat untuk melaksanakannya.

Status semasa adalah penyediaan dokumen perjanjian kontrak oleh FAM hasil daripada keputusan pemilihan yang dibuat sendiri oleh Fifa.

Tambah sumber, siasatan kes FAM telah hampir siap dan akan dikemukakan kepada Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan untuk kajian dan keputusan.

Setakat ini, SPRM tidak menemui sebarang penyelewengan dan rasuah dalam kes berkaitan.

Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (O) SPRM mengesahkan bahawa siasatan menyeluruh telah dilaksanakan berhubung perkara ini.

Sebagaimana yang dijelaskan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, SPRM hanya memfokuskan kepada isu-isu kesalahan di bawah Akta SPRM 2009.

Namun menyerahkan kepada Bahagian Pendakwaan untuk sebarang keputusan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 2:22 PM