LAKARAN bangunan NTC yang sepatutnya siap pada 2025.
LAKARAN bangunan NTC yang sepatutnya siap pada 2025.
Syazwan Msar dan Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Sudah hampir lima tahun projek Pusat Latihan Kebangsaan (NTC) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) diumumkan pembinaannya namun sehingga kini 'batang hidung' bangunan atau kemudahan tidak kelihatan sehingga menimbulkan pelbagai persoalan banyak pihak mengenai status pembinaannya.

Mengikut perancangan asal, projek berkenaan yang diumumkan pada 2019 itu sepatutnya bermula pada 2022 seperti diberitahu bekas Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu seterusnya dijangka siap pada 2025.

Hasil tinjauan Arena Metro di Padang Bola Sepak Persint 5, Putrajaya yang dikatakan bakal menjadi NTC mendapati keadaan padang masih lagi belum ada apa-apa tanda bakal akan pembangunan di kawasan itu.

Malah, keadaan rumput dan kawasan persekitaran seperti kawasan kurang terjaga meskipun ia dikatakan bakal menjadi projek utama FAM.

Selain itu, terdapat juga peralatan sukan memanah di kawasan tepi padang dan mungkin ia digunakan sebagai tempat latihan bagi sukan berkenaan.

Berdasarkan kepada maklumat diperoleh, projek terbabit turut dibiayai Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) dengan menelan belanja sekitar RM25 juta.

Menurut sumber yang pernah terbabit dengan projek berkenaan memaklumkan tender NTC dikeluarkan FAM 6 September tahun lalu dan difahamkan badan induk bola sepak negara itu sudah melantik kontraktor untuk menguruskan projek berkenaan.

Katanya, punca kelewatan projek berkenaan tidak diketahui dan kemungkinan proses pelantikan kontraktor menyebabkan pembinannya terpaksa ditangguhkan.

"Jika diikutkan sepatutnya dua atau tiga tahun lalu projek pembinaan NTC bermula namun terdapat perkara tertentu menyebabkan ia terpaksa ditangguhkan.

"Apa yang diketahui, sudah ada kontraktor dilantik untuk menguruskan projek berkenaan. Namun, mungkin akan ditangguhkan lagi apabila terdapat perkara berbangkit termasuklah disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Selain itu, beliau berkata, mengikut perancangan asal projek berkenaan yang berkeluasan sekitar 52,000 meter persegi merangkumi dua padang latihan termasuklah yang bertutup.

"Reka bentuk mengikut pusat latihan yang terdapat di kelab Johor Darul Ta'zim (JDT). NTC dilengkapi dengan gimnasium, pusat rawatan dan beberapa kemudahan lain untuk pasukan kebangsaan."

Sebelum ini SPRM mengesahkan sudah menjalankan siasatan berkaitan isu membabitkan FAM. Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menjelaskan siasatan pihaknya hanya tertumpu kepada satu isu iaitu pembinaan projek NTC di Putrajaya.

Beliau menegaskan bahawa pihaknya tidak akan masuk campur mengenai isu pentadbiran badan induk bola sepak negara itu.

"Kes ini kita anggap sebagai satu yang membabitkan kepentingan awam. Kita melihat pada maklumat yang diberikan, jadi kita tumpukan kepada satu isu sajalah yang mana melibatkan isu pembinaan projek NTC," katanya.

Pada masa sama, Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman menjelaskan pihaknya tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan sehingga siasatan SPRM selesai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 9:54 PM