Azam selepas merasmikan Pejabat SPRM Cawangan Gua Musang di Dewan Datuk Ariffin Said Ibu Pejabat KESEDAR, Gua Musang di sini, hari ini. FOTO Paya Linda Yahya
Azam selepas merasmikan Pejabat SPRM Cawangan Gua Musang di Dewan Datuk Ariffin Said Ibu Pejabat KESEDAR, Gua Musang di sini, hari ini. FOTO Paya Linda Yahya
Paya Linda Yahya


Gua Musang: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersedia menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Kubu Baharu dengan mewujudkan Bilik Gerakan di Selangor dan juga di ibu pejabat.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, penubuhan bilik gerakan itu adalah sebagai Pusat Informasi sepanjang PRK berlangsung.

Menurutnya, pegawai SPRM sudah diarahkan untuk memantau perjalanan pilihan raya ini bagi melihat sekiranya ada isu rasuah atau penyalahgunaan kuasa sepanjang kempen berlangsung.

"Saya menyeru dua perkara, sekiranya masyarakat mempunyai maklumat isu rasuah maka kita memang alu-alukan dan menggalakkan untuk disalurkan kepada SPRM dalam pelbagai cara.

"Sama ada datang secara bersemuka ke pejabat SPRM, ke bilik operasi atau menghubungi dengan cara panggilan telefon, emel serta MACCMobile.

"Pelbagai cara lagi ada sekarang untuk salur meklumat dan SPRM akan bertindak sekiranya maklumat berkenaan ada isu-isu rasuah dan salah guna kuasa yang boleh kita siasat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pejabat SPRM Cawangan Gua Musang di Ibu Pejabat Kesedar, di sini, hari ini.

Beliau turut menasihatkan kepada calon dan ejen kempen pilhan raya supaya mematuhi undang-undang mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1952.

"Kita menyeru supaya kempen-kempen diadakan dengan cara tertib dan bersih supaya kemenangan seseorang calon adalah kemenangan tulen bukan akibat daripada pengaruh rasuah atau salah guna kuasa," katanya.

Untuk rekod, PRK berkenaan diadakan berikutan kerusi berkenaan diisytiharkan kosong selepas penyandangnya Lee Kee Hiong meninggal dunia pada 21 Mac lalu akibat kanser.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Azam berkata, pihaknya sudah menjalankan siasatan bagi isu berkait Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Menurutnya, pihaknya tidak akan masuk campur berkait isu pentadbiran organisasi itu.

"Kes ini kita menganggap sebagai satu kepentingan awam, maka kita melihat pada maklumat yang diberikan.

"Jadi kita tumpukan kepada satu isu saja yang mana melibatkan isu pembinaan projek National Training Centre (NTC) yang mana untuk makluman adalah funding (dana) datang sebanyak RM2.5 juta dari pihak FIFA, bukan duit FAM.

"Jadi FAM cuma menjalankan perolehan melalui tender dan sebagainya. Ia sudah dikemukakan kembali kepada FIFA untuk pemilihan terakhir dan pihak FIFA sudah bersetuju dengan syarikat berkaitan," katanya.

Katanya, pihaknya akan mencadangkan untuk dibuat pertuduhan jika terdapat kes selepas siasatan selesai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2024 @ 2:25 PM