SKUAD Harimau Muda diikat India 1-1 dalam perlawanan persahabatan tertutup sebelum ini. FOTO IHSAN FAM
SKUAD Harimau Muda diikat India 1-1 dalam perlawanan persahabatan tertutup sebelum ini. FOTO IHSAN FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pengurus skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Datuk Seri Shahril Mokhtar mahu pasukan itu segera mempertingkatkan kecergasan perlawanan atau 'match fitness' ketika saingan Piala Asia B-23 di Qatar hanya berbaki 20 hari.

Katanya, isu kecergasan perlu ditangani segera bagi mempertingkatkan tahap permainan pasukan ketika saingan Liga Malaysia (Liga M) masih lagi dalam tempoh pramusim sejak Disember lalu.

Ujarnya masalah sama turut menghantui skuad senior sebelum ini yang menyaksikan anak buah Kim Pan-gon tewas dua kali kepada Oman dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

"Kecergasan perlawanan adalah perkara yang kita pandang serius setakat ini. Perkara ini juga sudah diperkatakan lagi sejak beberapa minggu lalu.

"Kita perlu segera mencari jalan dengan masa yang ada sekarang. Harapan saya masih tinggi buat para pemain, kerana saya tahu sejauh mana tahap mereka untuk bermain.

"Jadi saya harap mereka akan sampai ke kemuncak yang diinginkan," katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.

Terdahulu, skuad Harimau Muda itu diikat India 1-1 dalam perlawanan persahabatan tertutup kedua Isnin lalu biarpun sebelum itu menang 2-1 ke atas lawan sama minggu lalu.

Selepas menjalani kem latihan hampir seminggu, pengendali B-23 Juan Torres Garrido memberi cuti rehat sebelum kembali menjalani latihan hari ini.

Lantas, Shahril mahu pemain menggunakan rehat diberikan ini dengan sebaiknya dan kembali lebih bersedia selepas ini.

"Latihan seterusnya akan dijalankan pada malam 28 Mac (Khamis), jadi saya rasa mereka akan kembali dengan lebih segar dan cergas selepas berehat beberapa hari ini," katanya.

Di Qatar nanti, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan D bersama Uzbekistan, Kuwait dan Vietnam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2024 @ 1:55 PM