PEMAIN skuad B-23 negara berlepas pulang awal ke tanah air selepas tersingkir di peringkat Kumpulan D Piala Asia B-23 di Doha, Qatar. FOTO FB FAM
PEMAIN skuad B-23 negara berlepas pulang awal ke tanah air selepas tersingkir di peringkat Kumpulan D Piala Asia B-23 di Doha, Qatar. FOTO FB FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan skuad Harimau Malaya B-23 yang menamatkan kempen Piala Asia B-23 2024 di Qatar dengan menduduki tangga tercorot Kumpulan D.

Pengarah Teknikal FAM, Scott O'Donell berkata, beberapa faktor dikenal pasti sebagai punca skuad muda negara kendalian Juan Torres Garrido itu pulang tanpa sebarang mata apabila tewas ketiga-tiga perlawanan kepada Uzbekistan (0-2), Vietnam (0-2) dan 1-2 di tangan Kuwait, malam tadi.

Menurut beliau, aspek kecergasan perlawanan (match fitness) menjadi penyebab utama pemain terbaik B-23 yang dikumpulkan dalam skuad itu gagal memberikan saingan terbaik pada kejohanan disertai 16 pasukan terbaik Asia itu.

"Masalah utama dalam skuad Harimau Malaya B-23 ini ialah kekurangan masa permainan atau jumlah perlawanan yang dimiliki setiap pemain terbaik dalam skuad B-23 ini.

"Jika kita lihat menerusi statistik, tak ramai pemain dalam skuad ini yang mendapat minit permainan bersama kelab masing-masing dalam saingan Liga Super musim lalu, hanya empat pemain saja.

"Penjaga gol, Sikh Izhan Nazrel dengan 2,250 minit bersama Negeri Sembilan FC, Mukhairi Ajmal dengan 1,684 minit bersama Selangor FC, T Saravanan dengan 1,252 minit bersama Kuala Lumpur City dan Safwan Mazlan dengan 1,063 minit bersama Terengganu FC.

"Selebihnya pemain lain hanya memiliki minit permainan kurang daripada itu dalam saingan Liga Super 2023," kata O'Donell.

Kekurangan minit permainan ditambah pula dengan keadaan semasa apabila Liga Malaysia sedang berehat panjang dilihat menyumbang kepada kesan lebih teruk membabitkan aspek kecergasan perlawanan.

"Ketiga-tiga pasukan dalam Kumpulan D iaitu Uzbekistan, Vietnam dan Kuwait, liga domestik mereka sedang rancak berjalan dan sebagai perbandingan, kita boleh lihat yang pemain mereka berada pada tahap kecergasan terbaik di sepanjang kempen Piala Asia B-23 2024 ini.

"Sedangkan kita mula berkumpul pada 17 Mac lalu dan pemain yang bersama skuad senior serta beberapa pemain lain hanya menyertai pasukan, seminggu kemudian.

"Ditambah pula dengan kebanyakan pasukan kelab ketika itu belum memulakan lagi siri latihan pramusim Liga Super menjadikan pemain yang datang ke kem latihan pusat skuad B-23 negara ini pada tahap kecergasan cukup rendah," katanya.

Selain itu, O'Donell berharap agar skuad B-23 negara perlu menggunakan jendela antarabangsa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) dengan lebih baik pada masa akan datang.

"Kita perlu memberikan mereka lebih pendedahan antarabangsa untuk bermain sebagai satu pasukan menentang pasukan B-23 kebangsaan negara lain dan bukan hanya menyediakan pasukan kita sebelum kejohanan B-23 seperti AFC dan Sukan Sea.

"Jika kita tidak dapat mengaturkan perlawanan persahabatan antarabangsa B-23 pun, kita sekurang-kurangnya boleh mengadakan kem latihan untuk memberi peluang kepada jurulatih lebih mendekati pemain pada setiap jendela antarabangsa Fifa.

"Kita harus menerima hakikat tidak selalunya akan dapat menggunakan pemain terbaik untuk skuad B-23 negara, jadi kita harus mengembangkan lagi senarai pemain B-23 yang layak bersama skuad muda negara," ujarnya.

Tambah O'Donell, beliau bersama-sama Garrido akan menyediakan laporan lengkap Piala Asia B-23 2024 untuk dibentangkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2024 @ 5:18 PM