PEMAIN skuad B-23 negara gigih menjalani latihan di Wisma FAM menjelang kempen Piala Asia B-23 di Qatar. FOTO FB FAM
PEMAIN skuad B-23 negara gigih menjalani latihan di Wisma FAM menjelang kempen Piala Asia B-23 di Qatar. FOTO FB FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Persiapan awal dua minggu di bumi Qatar sebelum bermulanya saingan Piala Asia Bawah 23 Tahun (B-23) diharapkan dapat digunakan sebaik-baiknya oleh skuad B-23 negara.

Malah, skuad bimbingan Juan Torres Garrido itu disasarkan mencapai kemuncak prestasi sebelum turun pada aksi pertama Kumpulan D menentang Uzbekistan, 17 April ini.

Harapan itu diluahkan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang mahu pemain segera menyesuaikan diri sebaik tiba di negara Asia Barat itu.

Ujarnya, tiga perlawanan pemanas badan di Qatar turut diatur dan beliau berharap pasukan dapat berada pada tahap terbaik sebelum aksi pertama itu nanti.

"Jadi apabila pergi ke Qatar, saya hantar dua minggu untuk berlatih di sana, untuk bermain dengan Qatar dan China serta mungkin satu lagi pasukan.

"Kita harap pasukan akan dapat capai kemuncaknya sebelum kejohanan bermula termasuk sesuaikan keadaan cuaca dan perbezaan waktu, saya harap dua minggu ini cukup.

"Sebab itu saya hantar ke Qatar dan pasukan kita paling awal sampai di sana untuk menjalani latihan dan perlawanan di sana," katanya.

Selepas bertemu Uzbekistan, skuad Harimau Muda akan menentang Vietnam dalam perlawanan kedua pada 20 April sebelum menutup saingan peringkat kumpulan berdepan Kuwait pada 23 April.

Jika anak buah Garrido dapat menempatkan diri sebagai dua pasukan terbaik Kumpulan D itu, Malaysia akan mara ke suku akhir, sekali gus mengulangi pencapaian skuad 2018 di bawah bimbingan Datuk Ong Kim Swee.

Begitupun perjuangan di peringkat itu dihalang Korea Selatan apabila tumbang 1-2.

Mengulas lanjut mengenai sasaran, Hamidin tidak mahu memberi tekanan berlebihan apabila ingin melihat skuad B-23 cuba memburu slot ke suku akhir terlebih dulu, sebelum memikirkan tiket ke separuh akhir.

"Untuk sasar ke Olimpik (Sukan Olimpik Paris 2024) itu saya kata kena ambil satu persatu, kalau layak ke suku akhir pun bagi saya ia pencapaian yang baik.

"Tapi pasukan ini akan bagi yang terbaik kerana mereka ada sebahagian pemain pergi ke Oman (bersama skuad senior mengharungi Kelayakan Piala Dunia 2026).

"Sebahagian pemain ada lagi dekat luar seperti Luqman Hakim Shamsudin yang akan sertai latihan pada 28 Mac ini," katanya.

Berdasarkan format kelayakan ke Olimpik dari zon Asia, tiga pasukan terbaik di Piala Asia B-23 bakal meraih tiket automatik ke Paris 2024, manakala satu lagi tiket bakal ditentukan dalam aksi playoff terakhir dengan menentang Guinea dari benua Afrika.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2024 @ 5:20 PM