SHAHRIL menjangka skuad B-23 negara akan terbabit dalam aksi persahabatan menentang kelab Liga Super, bulan depan. FOTO ARKIB NSTP
SHAHRIL menjangka skuad B-23 negara akan terbabit dalam aksi persahabatan menentang kelab Liga Super, bulan depan. FOTO ARKIB NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara tidak akan berehat panjang apabila kemungkinan dipanggil menyertai kem latihan kebangsaan bermula bulan depan.

Pengurus skuad B-23 negara, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, kem latihan terbabit adalah kali pertama di bawah kendalian Juan Torres Garrido dengan matlamat mahu merangka dan menyusun strategi sebelum mengharungi Piala Asia B-23 pada April tahun depan.

Beliau berkata, perancangan awal perlu dilakukan bagi mengenalpasti kelemahan pasukan memandangkan saingan di Piala Asia sudah pastinya lebih hebat, sekali gus menuntut komitmen tinggi barisan kejurulatihan dan pemain negara.

"Berdasarkan perancangan, kita akan memanggil barisan pemain skuad B-23 pada bulan depan dan tarikhnya akan diumumkan kelak.

"Sudah pastinya, pengendali baharu iaitu Torres mempunyai perancangannya dan pasti tugas berat menanti kerana perlu menyediakan pasukan untuk mengharungi Piala Asia 2023," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Mengikut rekod, skuad B-23 negara menempah slot ke Piala Asia B-23 di Doha, Qatar pada tahun hadapan selepas muncul antara empat pasukan naib juara kumpulan terbaik dalam aksi kelayakan.

Sementara itu, Shahril berkata, pihaknya akan merangka perlawanan persahabatan dengan beberapa kelab Liga Super dalam usaha mengenalpasti pemain terbaik untuk dibawa ke Piala Asia B-23 kelak.

"Berkaitan perlawanan persahabatan, kita akan mengatur perlawanan menentang pasukan tempatan saja.

"Ini kerana kita menghadapi kekangan masa selain masalah kesediaan pasukan luar untuk menentang skuad B-23 pada bulan depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2023 @ 5:12 PM