BARISAN pemain sudah memulakan latihan. FOTO FB KFA
BARISAN pemain sudah memulakan latihan. FOTO FB KFA
Izzali Ismail


SKUAD Lang Merah sedang merancang untuk mengadakan empat perlawanan persahabatan bagi mempersiapkan pasukan memulakan saingan Liga Malaysia (Liga M) yang akan bersambung 26 Ogos depan.

Ketua jurulatihnya, Aidil Sharin Sahak berkata, empat pasukan yang dirancangnya itu terdiri daripada tiga pasukan dari sekitar Lembah Klang dan satu pasukan di utara.

"Kami merancang untuk mengadakan empat perlawanan persahabatan sebagai persiapan menghadapi Liga M yang akan bermula dalam tempoh sebulan lagi.

"Saya sudah mengemukan cadangan mengenai senarai nama pasukan yang akan kami hadapi itu kerana kami perlu melakukan perancang awal memandangkan semua pasukan lain juga sedang giat melakukan perancangan mereka sendiri pada ketika ini.

"Bagimanapun, kami masih menunggu kelulusan daripada pihak pengurusan KFA dan berharap kelulusan serta pertimbangan segera daripada pihak pengurusan pasukan dapat melancarkan perancangan yang penting ini," katanya.

Aidil juga berkata skuad Lang Merah kini berada dalam keadaan terbaik dan empat perlawanan persahabatan yang dirancang itu sangat penting bagi memantapkan lagi tahap keupayaan pasukan.

"Kecergasan yang tinggi dan kekuatan mental daripada semua pemain sangat diperlukan, tambahan pula bagi menempuhi jadual yang padat termasuk perlawanan ke tempat jauh seperti di Kuantan dan Jengka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2020 @ 9:05 PM