BARISAN skuad b-23 yang akan mengibarkan cabaran di Chonburi, Thailand. -FOTO FAM
BARISAN skuad b-23 yang akan mengibarkan cabaran di Chonburi, Thailand. -FOTO FAM
Oleh Firdaus Hashim


Sepang: Dua pemain yang berpangkalan di luar negara, Luqman Hakim Shamsudin dan Nooa Hamzah Laine tidak mempunyai masalah untuk segera menyesuaikan diri bersama skuad bawah 23 (B-23) sebaik menyertai pasukan di Chonburi, Thailand nanti.

Perkara itu diakui pengurus skuad B-23, Datuk Seri Shahril Mokhtar yang percaya kedua-dua tonggak terbabit mampu mendapat rentak dalam tempoh singkat.

Difahamkan, Luqman yang sudah terbang dari Iceland bakal menyertai pasukan di Chonburi hari ini, manakala Nooa pula akan tiba malam esok selepas berakhirnya perlawanan bersama kelabnya SJK Seinajoki FC di Finland petang ini.

"Luqman saya tak risau sebab Luqman ada sertai dua hingga tiga kem sebelum ini. Nooa bukan saya risau, dia pemain yang serba boleh di mana banyak pendedahan di Eropah dan liga-liga yang besar.

"Saya yakin Nooa takkan ambil masa yang lama untuk mendapat keserasian dengan rakan yang lain, InsyaAllah," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di Sepang, hari ini.

Begitupun, Shahril akui kemungkinan Nooa tidak dapat diturunkan pada aksi pertama Kumpulan H Kelayakan Piala Asia B-23 berdepan Bangladesh di Stadium Chonburi, Rabu ini dengan khidmatnya kemungkinan bakal disaksikan pada baki dua aksi menentang Filipina (Sabtu ini) dan Thailand (Selasa depan).

"Cuma Nooa, dia ada perlawanan malam ini (waktu di Finland petang) dan dia akan sampai 5 malam esok. Jadi kemungkinan dia tak sempat main aksi pertama, tapi Insya-Allah dia akan bersedia untuk aksi kedua dan ketiga nanti," katanya.

Selain itu, Shahril akui motivasi pemain pada tahap terbaik selepas menjalani latihan pusat selama enam hari yang lalu.

"Jika kita lihat dalam senarai akhir pemain, rata-rata pemain adalah pemain berpengalaman walaupun muda. Pemain-pemain ini mempunyai pendedahan luas dalam saingan Liga Super.

"Yang kedua ramai pemain kita kali ini juga ada yang pernah bermain dalam skuad senior kendalian Kim Pan-gon. Jadi sistem dan corak permainan dan sebagainya Alhamdulillah saya lihat latihan enam hari amat-amat positif," katanya yang yakin pasukan mampu layak ke Piala Asia B-23 di Qatar tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2023 @ 12:54 PM