GAMBAR yang tersebar di laman sosial keadaan padang SNBJ pada 12 Mac lalu. FOTO Ihsan pembaca
GAMBAR yang tersebar di laman sosial keadaan padang SNBJ pada 12 Mac lalu. FOTO Ihsan pembaca
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026, Malaysia menentang Oman yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) hanya berbaki dua hari saja lagi namun venue berkenaan mula menjadi buah mulut penyokong bola sepak tempatan ketika ini.

Hal ini disebabkan tersebarnya video di laman Youtube yang dipercayai diambil pada semalam sekitar 12 tengahari membabitkan perkembangan terkini padang venue itu.

Pemilik akaun YouTube itu menerbangkan dron untuk meninjau perkembangan terkini venue berkenaan selepas video individu berkenaan memaparkan keadaan padang SNBJ beberapa hari lalu sebelum tular di media sosial.

Video yang dirakam pada 12 Mac 2024 itu menampakkan keadaan padang yang cukup teruk selepas dilanyak konsert Ed Sheeran bulan lepas sekali gus dikecam hebat oleh pelbagai pihak.

Namun, keadaan terkini menyaksikan padang SNBJ yang menggunakan padang jenis Zeon Zoysia mula menghijau walaupun masih kelihatan pasir di sekitarnya.

Padang berkenaan dijangka bertambah lebih baik pada hari perlawanan iaitu 26 Mac ini apabila pihak stadium melakukan siraman yang lebih kerap berdasarkan rakaman video dron itu.

Sebelum ini, Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Datuk Hans Isaac memilih berahsia mengenai keadaan padang di SNBJ.

"Kita jumpa 26 hari bulan untuk Malaysia lawan Oman di Stadium Nasional Bukit Jalil. Kita balas 0-2 itu, semua," katanya.

Mengikut rekod, skuad kendalian Kim Pan Gon itu perlu bangkit membalas dendam selepas tewas 0-2 di Muscat pada jumaat lalu iaitu mengutip sekurang-kurangnya satu mata bagi mencerahkan peluang mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2024 @ 3:55 PM