KEADAAN terkini memperlihatkan padang Stadium Nasional Bukit Jalil berada dalam kondisi yang cukup baik. FOTO Facebook Hannah Yeoh
KEADAAN terkini memperlihatkan padang Stadium Nasional Bukit Jalil berada dalam kondisi yang cukup baik. FOTO Facebook Hannah Yeoh
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Teka-teki segala persoalan berkenaan venue perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sudah terjawab apabila gambar terbaharu sebentar tadi memperlihatkan keadaan padang terkini berada dalam kondisi yang cukup baik.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menerusi Facebook rasminya sebentar tadi berkongsi gambar padang SNBJ dan ia kelihatan sangat cantik serta seperti sudah bersedia untuk perlawanan Malaysia menentang Oman bagi Kelayakan Piala Dunia 2026 /Piala Asia 2027 malam esok.

Menurut Hannah, komisioner Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) yang ditugaskan untuk mengendalikan perlawanan esok juga menasihatkan agar padang tidak digunakan oleh kedua-dua pasukan bagi memastikan keadaan padang kekal terjadi rapi.

Selain itu, venue yang dikatakan tidak sesuai untuk perlawanan itu diadakan juga sudah mendapat kelulusan daripada komisioner ketika hadir memeriksa keadaan pada.

Oleh itu, beliau turut mengajak orang ramai memenuhi stadium esok untuk menyokong pasukan kebangsaan dalam perlawanan yang cukup penting bagi mencapai kemenangan sekali gus mencerahkan peluang Malaysia ke pusingan seterusnya.

"Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) menerusi Match Commissioner (Komisioner Fifa) tidak benarkan pasukan Malaysia dan Oman berlatih di SNBJ kerana hujan pada waktu petang kebelakangan ini.

"Padang SNBJ mendapat kelulusan MC untuk perlawanan dan penyokong Harimau Malaya digesa turun ke SNBJ untuk berikan sokongan paling padu," katanya menerusi Facebook rasminya.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan pasukan Malaysia dan Oman secara rasminya tidak boleh mencuba atau menjalani latihan rasmi di Stadium Nasional, Bukit Jalil menjelang aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, malam esok.

Situasi terbabit bertentangan dengan kebiasaan iaitu pasukan bertanding diberikan peluang untuk mencuba padang digunakan untuk perlawanan menerusi sesi latihan rasmi sehari sebelum aksi sebenar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2024 @ 10:24 PM