KEADAAN padang SNBJ sebelum pertembungan Malaysia dan Taiwan malam ini.
KEADAAN padang SNBJ sebelum pertembungan Malaysia dan Taiwan malam ini.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Tumpuan pada malam ini bukan hanya aksi membabitkan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 antara Malaysia dan Taiwan namun turut membabitkan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Berdasarkan tinjauan Arena Metro dua jam sebelum sepak mula perlawanan mendapati keadaan padang cukup cantik dan berada pada keadaan terbaik berbanding aksi sebelum ini.

Walaupun cuaca hujan di kawasan SNBJ namun dilihat tiada air bertakung walaupun padang tidak ditutup dan kanvas.

Turut kelihatan juga kakitangan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) melakukan kerja akhir memperbetulkan permukaan padang bagi memastikan perlawanan pada malam ini berlangsung tanpa sebarang masalah.

Sebelum ini, pengendali Harimau Malaya Kim Pan-gon mengambil sikap diplomatik dengan mengharapkan padang SNBJ berada dalam keadaan baik pada aksi terakhir Kumpulan D pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Taiwan.

Pan-gon berkata, beliau mengharapkan keadaan rumput di SNBJ tidak 'buat hal' sekali gus perlawanan berlangsung tanpa sebarang masalah dan Malaysia mampu mencipta kemenangan dengan jaringan yang besar.

Mengikut rekod, padang SNBJ menjadi isu hangat yang sering menjadi perdebatan setiap kali berlangsungnya perlawanan di venue terbabit.

Malah, kualiti padang venue itu juga sering dipersoalkan pihak lawan termasuklah menerima kritikan jurulatih Oman Jaroslav Silhavy.

Berikutan itu, PSM telah mengambil langkah-langkah penambahbaikan bagi mengembalikan semula kualiti padang ke tahap terbaik.

Malah, PSM juga sentiasa berhubung dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tentang situasi terkini padang SNBJ.

Imej terkini padang SNBJ yang disiarkan semalam menunjukkan padang itu dilihat berada dalam keadaan baik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2024 @ 7:21 PM