KEADAAN padang SNBJ dalam keadaan baik menjelang pertembungan Malaysia-Taiwan.
KEADAAN padang SNBJ dalam keadaan baik menjelang pertembungan Malaysia-Taiwan.
Syazwan Msar


Kelana Jaya: Pengendali Harimau Malaya Kim Pan-gon mengambil sikap diplomatik dengan mengharapkan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) berada dalam keadaan baik pada aksi terakhir Kumpulan D pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Taiwan, malam esok.

Pan-gon berkata, beliau mengharapkan keadaan rumput di SNBJ tidak 'buat hal' sekali gus perlawanan berlangsung tanpa sebarang masalah dan Malaysia mampu mencipta kemenangan dengan jaringan yang besar.

"Hari ini, kita memilih untuk tidak menjalani latihan di SNBJ. Situasi itu kerana kita sudah biasa beraksi di venue itu.

"Oleh itu, kita perlu mengurangkan kesan daripada segi logistik untuk memberi lebih banyak tempoh pemulihan selain pemain juga boleh rehat.

"Mengenai padang saya tak boleh cakap banyak. Saya fikir keadaannya sama buat pihak lawan, sama macam kita. Jadi, harapnya, padang cukup bagus untuk kita bermain (esok)," katanya pada sidang media di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), di sini, hari ini.

Mengikut rekod, padang SNBJ menjadi isu hangat yang sering menjadi perdebatan setiap kali berlangsungnya perlawanan di venue terbabit.

Malah, kualiti padang venue itu juga sering dipersoalkan pihak lawan termasuklah menerima kritikan jurulatih OmanJaroslav Silhavy.

Berikutan itu, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) telah mengambil langkah penambahbaikan bagi mengembalikan semula kualiti padang ke tahap terbaik.

Malah, PSM juga sentiasa berhubung dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tentang situasi terkini padang SNBJ. Imej terkini padang SNBJ yang disiarkan semalam menunjukkan padang itu dilihat berada dalam keadaan baik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2024 @ 5:50 PM