AKSI Malaysia bertemu Oman 26 Mac ini akan berlangsung di SNBJ. FOTO ASWADI ALIAS
AKSI Malaysia bertemu Oman 26 Mac ini akan berlangsung di SNBJ. FOTO ASWADI ALIAS
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Khabar gembira buat penyokong bola sepak tanah air apabila perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 membabitkan skuad kebangsaan menentang Oman pada 26 Mac ini akan tetap berlangsung di venue keramat Harimau Malaya iaitu Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Perkara itu disahkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas mengadakan sesi lawatan dan perjumpaan bersama Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) termasuklah konsultan yang mengurus dan menyelenggara padang di SNBJ itu, hari ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM, Mohd Firdaus Mohamed, perlawanan membabitkan Malaysia menentang Oman akan diteruskan di SNBJ selepas pihak konsultan memberi jaminan venue berkenaan akan berada pada tahap terbaik bagi mengharungi perlawanan penting itu.

"Selepas mengadakan sesi perjumpaan, pihak konsultan yang dilantik PSM memberi jaminan padang selamat digunakan pada perlawanan 26 Mac ini.

"Jaminan yang diberikan itu menyaksikan perlawanan berkenaan tidak akan diubah ke venue lain dan tetap berlangsung di venue keramat Harimau Malaya," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin, menjelaskan perlawanan kelayakan itu mungkin akan berlangsung di venue jika keadaan semasa permukaan padang SNBJ kurang memuaskan.

Antara venue yang mungkin menjadi pilihan adalah Stadium Gong Badak serta Stadium Sultan Ibrahim dalam cadangan sebagai alternatif untuk perlawanan itu.

SNBJ sekali lagi menjadi venue konsert berskala mega baru-baru ini membabitkan artis antarabangsa Ed Sheeren sekali gus ia telah melewati satu fasa yang membimbangkan mengenai persiapan Malaysia menghadapi saingan Kelayakan Piala Dunia/ Piala Asia berdepan Oman.

Masalah permukaan padang SNBJ ternyata memberi pandang negatif buat penyokong bola sepak tanah air apabila aksi final Piala Malaysia musim lalu yang diadakan di venue itu menunjukkan keadaan yang kurang baik padang tersebut berikutan penganjuran konsert kumpulan Coldplay.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2024 @ 6:09 PM